Khamis, 7 Oktober 2021

Beberapa Hari Lagi Boleh Rentas Negeri - Dr Noor Hisham

 

Larangan rentas negeri akan ditarik balik dalam masa beberapa hari lagi, maklum Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Berita baik itu disampaikan Hisham di Twitternya awal pagi ini.

“Dalam masa beberapa hari, larangan rentas negeri akan ditarik balik.


“Penting untuk mengambil semua langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup muka, membasuh tangan, dan penjarakan fizikal, meskipun dalam kalangan yang sudah divaksin.

“Bagi memastikan yang tersayang dan ahli keluarga anda selamat, lakukan ujian air liur RTK-Ag sendiri secara berkala,” ciapnya.

Semalam juga, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberikan bayangan serupa, apabila menitipkan pesan agar rakyat sentiasa mengambil sikap bertanggungjawab dan berjaga-jaga.

Katanya, ketika kerajaan sudah beralih untuk melakukan ujian hanya ke atas mereka yang bergejala, rakyat yang hidup dalam latar yang banyak bergerak serta mempunyai kontak yang tinggi, digalakkan untuk membuat ujian Covid-19 dengan kerap.

“1.6 peratus lagi (kadar vaksinasi) sebelum sempadan antara dibuka dibuka.


“Kalau mahu balik kampung jumpa orang tua, buat ujian air liur RTK. Pastikan mereka selamat,” ciapnya semalam.

Kata Khairy juga, kerajaan tidak lagi boleh memantau segala perkara seperti membuat sekatan jalan raya untuk memeriksa status vaksinasi rakyat, oleh itu, kini segala-galanya terpulang kepada tanggungjawab dan sikap peribadi rakyat.

Pada 22 Sept, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus golongan dewasa telah melengkapkan vaksinasi Covid-19.

Hari ini, Bernama melaporkan bahawa kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa sudah mencecah 88.8 peratus setakat Rabu (semalam), menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi kini tinggal 1.2 peratus.

Berdasarkan data KKM menerusi portal Covidnow, 94.6 peratus atau 22,135,242 individu daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin ~ MalaysiaKini

0 comments:

Catat Ulasan