Khamis, 16 Oktober 2025

Peace 2025: Gencatan Senjata G dan Isyarat Baharu Kuasa Dunia?

 “Peace 2025: Gencatan Senjata G dan Isyarat Baharu Kuasa Dunia?"

Di Sharm el-Sheikh, dunia menyaksikan detik bersejarah apabila pemimpin dari pelbagai negara duduk semeja menandatangani perjanjian gencatan senjata di G. Di atas pentas yang dihiasi panji-panji antarabangsa, Donald Trump berdiri teguh bersama pemimpin Mesir, Qatar dan Turkiye, mengumumkan apa yang disebut sebagai “permulaan era baharu untuk Timur Tengah.”

Dalam ucapannya, Trump menggambarkan masa depan yang penuh harapan untuk G, seolah-olah tanah yang hancur ini akan dibangunkan semula menjadi kota moden. Beliau memuji para pengantara serantau yang katanya berjaya membawa keamanan selepas dua tahun peperangan yang memusnahkan ribuan nyawa. Dengan penuh keyakinan, beliau menyatakan bahawa “pembinaan semula adalah bahagian paling mudah,” lalu menegaskan bahawa tiada siapa di dunia yang lebih tahu cara membina semula selain mereka.

Satu persoalan yang masih menghantui ramai pemerhati dunia. Siapa sebenarnya yang memusnahkan G? Siapa tangan-tangan jahat yang menekan butang peluru berpandu hingga seluruh kota bertukar menjadi debu? Dua tahun lamanya bumi itu dibedil tanpa henti, namun di pentas megah Sharm el-Sheikh, tiada satu pun pemimpin berani menyebut nama penjenayah sebenar di hadapan dunia. Mereka bersorak atas nama keamanan, sedangkan darah rakyat G belum pun kering di tanah mereka sendiri.

Kita faham pentingnya pembangunan semula, tetapi bagaimana mungkin sebuah tamadun baharu ingin dibina di atas kezaliman yang belum diadili? Dalam kalangan puluhan pemimpin yang berdiri di belakang Trump, tiada satu pun yang menuntut agar mereka yang memusnahkan G dibawa ke muka keadilan. Dunia seolah-olah buta terhadap hakikat bahawa keamanan tanpa pertanggungjawaban hanyalah ilusi yang akan hancur semula apabila angin politik bertiup ke arah lain.

Disebalik nada damai itu, tersirat makna yang jauh lebih besar. Ucapan Trump bukan sekadar menandakan berakhirnya serangan, tetapi permulaan kepada penyusunan semula kuasa geopolitik di Timur Tengah. Pembinaan semula G akan dijadikan model baharu untuk pelaburan global yang dikawal oleh kuasa-kuasa besar.

Kehadiran Mesir sebagai tuan rumah memberi isyarat jelas bahawa Kaherah mahu mengukuhkan kedudukannya sebagai penjaga sempadan dan pintu utama ke G. Mesir kini menjadi pusat logistik kemanusiaan yang menghubungkan dunia Arab dengan Barat. Dalam masa yang sama, Mesir memperoleh kedudukan strategik baharu sebagai penjaga laluan perdagangan Laut Merah yang semakin penting.

Qatar pula memainkan peranan yang jauh lebih "complicated". Doha ialah pengantara yang dipercayai semua pihak, menjadi jambatan antara Barat dan kumpulan pejuang P. Dengan reputasinya sebagai penyumbang dana kemanusiaan, Qatar memastikan pengaruhnya tidak akan pudar walaupun selepas letupan senjata berhenti berbunyi.

Turkiye hadir sebagai penyeimbang kepada dominasi Mesir dan memberi sentuhan Islamik dalam rundingan ini. Presiden Erdoğan membawa suara dunia Muslim dengan tegas bahawa keamanan tidak akan bermakna tanpa keadilan. Dalam masa yang sama, Turkiye menawarkan kepakaran pembinaan, tenaga dan industri berat bagi membangunkan semula G.

Dari Eropah pula, kehadiran Perancis, United Kingdom, Itali dan Jerman menunjukkan kepentingan ekonomi yang besar. Mereka hadir bukan hanya atas nama kemanusiaan tetapi kerana melihat G sebagai pasaran baharu untuk teknologi air, tenaga dan prasarana. Kehadiran Setiausaha Agung PBB António Guterres dan Liga Arab pula memberi sentuhan sah kepada perjanjian itu, menjadikannya kelihatan "seimbang" di mata dunia.

Trump menekankan keperluan nyahketenteraan G sebagai asas kepada proses pembinaan semula. Ia kedengaran seperti langkah keselamatan, tetapi di sisi lain ia memberi peluang kepada Amerika untuk menentukan struktur keselamatan baharu yang berpusat di bawah kawalan sekutu mereka. Sebenarnya "Money, money, money".

Perjanjian “Peace 2025” ini juga memberi ruang besar kepada Eropah untuk memainkan peranan ekonomi. Negara-negara seperti Jerman dan Itali dilapor akan menaja projek tenaga solar dan rawatan air, sementara syarikat-syarikat pembinaan dari Turkiye dan Qatar akan menjadi peneraju utama pembinaan semula rumah dan sekolah.

Namun di balik janji pembangunan, tersembunyi risiko besar yang mereka ini tak mahu sebut. Setiap pelaburan akan datang dengan syarat. Setiap kontrak akan membawa kuasa. Jika tidak berhati-hati, G yang baru akan dibina di bawah pengawasan antarabangsa yang terlalu ketat hingga rakyatnya terkurung dalam tembok yang lebih senyap daripada sebelumnya.

Rakyat P mungkin akan menikmati bekalan elektrik dan sekolah baharu, tetapi jika hak mereka untuk menentukan nasib sendiri tidak diiktiraf, maka pembangunan itu hanya menjadi topeng bagi sebuah penjajahan gaya baharu. Dunia mungkin melihat keamanan, sedangkan jiwa G terus dibelenggu dalam sistem kawalan yang kompleks.

Mesir beruntung kerana peranannya kini menjadi nadi diplomasi serantau. Sharm el-Sheikh berubah menjadi ibu kota baharu rundingan antarabangsa, menggantikan Geneva sebagai pentas perbincangan dunia Arab. Qatar pula memperoleh pengaruh luar biasa dalam Majlis Kerjasama Teluk, manakala Turkiye mengukuhkan pengaruhnya sebagai kuasa Islam yang tidak tunduk sepenuhnya pada Barat.

Namun kehadiran Mahmoud Abbas bagi mewakili Autoriti P menimbulkan persoalan tentang legitimasi. H yang lebih berakar di lapangan tidak berada di meja utama, walaupun merekalah pihak yang mengangkat senjata mempertahankan G. Inilah paradoks paling besar dalam perjanjian ini dimana suara rakyat yang paling terkesan tidak berada di kerusi rundingan. Apapun diharap mereka bersatu tidak kisah siapa wakilnya demi ummah. 

Eropah menggunakan momentum ini untuk menunjukkan bahawa mereka masih relevan di pentas global. Setelah bergelut dengan krisis ekonomi dan ketegangan dalaman, projek pembinaan semula G menjadi peluang untuk membina imej semula sebagai pelindung nilai kemanusiaan. Dalam senyap, Eropah turut memastikan syarikat mereka menjadi penerima utama kontrak infrastruktur.

Amerika pula tidak datang dengan tangan kosong. Mereka hadir dengan agenda jelas untuk mengawal arus geopolitik selepas era peperangan. “Peace 2025” bukan sahaja tentang G tetapi juga tentang imej Amerika sebagai kuasa yang mampu menamatkan konflik setelah dua dekad hanya dikenali kerana mencetuskannya.

Bagi Trump, ini adalah pentas politik yang sempurna baginya. Dunia Islam pula melihatnya sebagai ujian sejauh mana suara mereka benar-benar diambil kira atau sekadar menjadi perhiasan di meja rundingan.

Dalam kesibukan ucapan dan sidang media, rakyat G masih hidup di antara runtuhan. Mereka menunggu air bersih, makanan, ubat dan keamanan sebenar. Bagi mereka, “Peace 2025” hanya akan bermakna jika ia menghadirkan kehidupan yang manusiawi, bukan sekadar janji di podium.

Apa yang kita lihat ialah permulaan kepada fasa geopolitik baharu. Timur Tengah sedang disusun semula dengan cara yang lebih halus. Kuasa besar tidak lagi menakluk dengan senjata, tetapi dengan pinjaman, kontrak dan dasar ekonomi. G menjadi papan ujian seterusnya bagi model ini.

MasyaAllah, dunia menyaksikan satu babak besar dalam sejarah manusia. Umat Islam perlu bersatu hati, menolak perpecahan dan berhenti menembak sesama sendiri. Jika kita benar-benar mahu melihat bumi P bebas, maka kesatuan dan hikmah mesti menjadi senjata utama dalam perjuangan ini.

---

Source 

0 comments:

Catat Ulasan