Ahad, 12 Oktober 2025

Kenapa Tentera Darat Tiada Nama Diraja?

 “Kenapa Tentera Darat Tiada Nama Diraja?”

Oleh: Azizul Farhan

Ada seorang pakcik ni buat video dan kemukakan persoalan ni. Ramai yang tak perasan, dalam tiga cabang utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu darat, laut dan udara, hanya dua cabang yang menggunakan gelaran “Diraja”. 

Kita ada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kita ada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Tapi kenapa tiada Tentera Darat Diraja Malaysia? 

Soalan ni nampak mudah, tapi jawapannya sebenarnya berakar pada sejarah panjang, struktur organisasi dan tradisi ketenteraan yang diwarisi sejak zaman penjajahan British lagi.

Sejarah Tentera Darat Malaysia bermula lebih awal daripada semua cabang lain. Seawal tahun 1902, Raja-Raja Melayu sudah pun berbincang dengan penasihat British tentang usaha menubuhkan satu pasukan pertahanan yang dianggotai oleh anak watan, bukan tentera upahan luar. 

Hasrat itu akhirnya menjadi kenyataan pada 23 Januari 1933 apabila Rang Undang-Undang Askar Melayu diluluskan. Dari situ lahirlah Kompeni Percubaan Askar Melayu yang bermula dengan hanya 25 orang anak muda Melayu menjalani latihan di Haig Lines, Port Dickson. 

Dari detik kecil inilah bermulanya sejarah panjang yang akhirnya membentuk Rejimen Askar Melayu dan seterusnya menjadi tulang belakang kepada Tentera Darat Malaysia hari ini.

Sebenarnya, Tentera Darat bukan tak ada gelaran “Diraja”. Ramai tak tahu bahawa hampir semua kor dan rejimen di bawah Tentera Darat sudah pun menerima pengiktirafan Diraja daripada Yang di-Pertuan Agong. Antaranya;

- Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), 

- ⁠Rejimen Renjer Diraja (RRD), 

- ⁠Kor Armor Diraja (KAD), 

- ⁠Rejimen Artileri Diraja (RAD), 

- ⁠Rejimen Semboyan Diraja (RSD), 

- ⁠Kor Kesihatan Diraja (KKD), 

- ⁠Kor Polis Tentera Diraja (KPTD), 

- ⁠Kor Risik Diraja (KRD), 

- ⁠Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), dan 

- ⁠Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja (KJLJD).

Ini hanyalah sebahagian daripada yang telah dikurniakan gelaran tersebut. Pendek kata, hampir semua cabang di bawah Tentera Darat membawa nama Diraja, cuma pengiktirafan itu diberikan kepada unit dan kor masing-masing, bukan kepada keseluruhan Tentera Darat.

Siapa yang jadi payung diraja setiap kor?

Ramai tak tahu, setiap rejimen dan kor dalam Tentera Darat ada penaung tertinggi yang dikenali sebagai Kolonel Yang Dipertua dan hampir semuanya adalah Raja atau Sultan dari negeri-negeri di Malaysia.

Sultan Kedah menaungi Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Kor Perkhidmatan Diraja (KPD).

Raja Perlis menjadi penaung kepada Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Polis Tentera Diraja (KPTD).

Sultan Perak menaungi Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Kor Kesihatan Diraja (KKD).

Sultan Kelantan menaungi Rejimen Artileri Diraja (RAD) serta Kor Risik Diraja (KRD).

Sultan Terengganu pula menaungi Kor Armor Diraja (KAD) dan Kor Ordnans Diraja (KOD).

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menjadi penaung Rejimen Semboyan Diraja (RSD) dan Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (KJLJD).

Sultan Johor menaungi pasukan elit negara, Rejimen Gerak Khas (GGK).

Beberapa cabang lain seperti Rejimen Sempadan (RS), Kor Perkhidmatan Am (KPA) dan Rejimen Askar Wataniah (AW) belum mempunyai Kolonel Yang Dipertua, mungkin kerana peranan dan struktur organisasi mereka berbeza daripada kor utama.

Sementara itu, Sultan Selangor ialah Kepten Yang Dipertua bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Sultan Pahang ialah Kolonel Dipertua bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Dan jangan pelik bila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dikenali sebagai Field Marshal, Admiral of the Fleet atau Marshal of the Royal Malaysian Air Force. Itu sebab YDPA ialah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, jadi secara automatik baginda berhak memakai pangkat lima bintang (5-star rank) tertinggi dalam ketiga-tiga cabang.

Inilah perbezaan besar antara Tentera Darat dengan dua cabang lain. Dalam Tentera Laut dan Tentera Udara, struktur mereka jauh lebih ringkas. Masing-masing adalah satu perkhidmatan tunggal tanpa pecahan kor atau rejimen yang banyak. 

Jadi bila pengiktirafan Diraja diberikan, ia secara automatik meliputi seluruh cabang. Sebab itu ada Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia. 

Tapi Tentera Darat pula terdiri daripada pelbagai kor dan rejimen dengan peranan khusus. Ada yang tempur, ada yang logistik, ada yang teknikal, ada yang risikan. Maka gelaran Diraja diberikan kepada unit-unit itu secara individu, bukan kepada keseluruhan organisasi.

Ada yang tanya, kalau macam tu, adakah Tentera Darat “kurang Diraja”? 

Jawapannya tidak sama sekali. Malah, kalau ikut jasa dan sejarah, Tentera Daratlah yang paling banyak berkorban untuk negara. 

Dari zaman Perang Dunia Kedua, Darurat 1948, Konfrontasi Indonesia-Malaysia tahun 1963, sampai ke pencerobohan Lahad Datu tahun 2013 semua itu dibayar dengan darah, peluh dan nyawa anggota Tentera Darat. 

Mereka mungkin tak ada perkataan “Diraja” di depan nama rasmi, tapi setiap panji-panji mereka sudah pun dikurniakan Panji Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong. 

Dalam konteks ini, Tentera Darat sebenarnya lebih istimewa, sebab gelaran Diraja mereka bukan hanya satu nama besar di atas kertas, tetapi hidup dalam setiap rejimen dan kor pada bendera, lambang dan panji yang mereka junjung setiap hari.

Mereka tak perlukan gelaran baharu kerana maruah mereka sudah lama dijunjung di bawah Panji Diraja.

Source 

___


Mempertahankan kemerdekaan lebih sukar daripada meraih kemerdekaan.


Selam pengalaman Komander VAT69 menentang komunis untuk mempertahankan tanah air bersama buku biografinya PERTEMPURAN DI HUTAN. 


Dapatkan Segera! 

https://shope.ee/7zoyrqggTG

0 comments:

Catat Ulasan