Jumaat, 17 Disember 2021

Youtuber Apit Wan Lebo didakwa hantar komunikasi jelik

ROSHAFEEZ Abdul Malik (tengah) hadir ke Mahkamah Seksyen Ipoh hari ini atas pertuduhan membuat hantaran komunikasi jelik menerusi akauan Facebook miliknya, Mei lalu. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI

 IPOH: Seorang Youtuber dikenali ‘Apit Wan Lebo’ didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan membuat hantaran komunikasi jelik menerusi akaun Facebook miliknya, Mei lalu.

Roshafeez Abdul Hamid, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd. Ardani.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu melalui Facebook dengan menggunakan laman profil ‘Apit Wan Lebo’ di pautan https://www.facebook.com/204937103653555/posts/933730184107573 pada pukul 1.30 petang, 9 Mei 2021.

Pautan itu kemudiannya dibaca pada pukul 10.30 pagi di pejabat siasatan jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah pada 10 Mei 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi manakala tertuduh diwakili peguam Sukhdave Singh dan Keshvinder Singh.

Terdahulu, Liyana Zawani menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin namun Keshvinder memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana tertuduh hanya berniaga nasi lemak dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,500 selain menanggung lima anak dengan dua daripadanya masih bersekolah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Januari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.

Media pada 11 Mei lalu melaporkan, Apit Wan Lebo yang dikenali dengan video-video sindiran atau parodi ditahan polis bagi membantu siasatan susulan video tularnya yang mengkritik cara kerajaan mengendalikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara.

Video berdurasi empat minit 15 saat itu memaparkan lelaki terbabit melahirkan perasaan tidak puas hatinya terhadap kerajaan kerana melaksanakan PKP 3.0 yang disifatkan sebagai longgar berbanding PKP 1.0. – UTUSAN ONLINE

0 comments:

Catat Ulasan