PETALING JAYA: Bagi dua orang penduduk di Selangor ini, kehidupan mereka tidak lagi akan sama selepas terjejas teruk akibat banjir besar yang melanda pada 18 Dis lepas.
Beberapa hantaran di Instagram oleh Shazana Amin (@shazanaamin) mendedahkan nasib seorang lelaki berusia 55 tahun dari Kampung Orang Asli Sungai Melut, Dengkil, dan seorang lagi warga emas di Kampung Dusun Tua, Hulu Langat.
Wanita dari Mutiara Damansara itu berkata, rumah papan yang didiami lelaki Orang Asli itu, dan isterinya berusia 50 tahun, terjejas teruk selepas ditenggelami air banjir sehingga ke paras bumbung.
“Rumah mereka sebelum banjir tiada bekalan elektrik mahupun tandas, dan mereka menumpang kedua-dua kemudahan itu di rumah jiran-jiran.
“Beliau bukan orang Islam, jadi tak layak terima zakat. Beliau telah cuba mohon bantuan, namun gagal.
“Saya bersama rakan, Ida Farhanah, beri mereka bantal dan tilam yang dibeli menggunakan dana dikumpul dari sumbangan rakan dan keluarga,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, rumah warga emas di Hulu Langat itu, menurut Shazana, terletak berdekatan sungai, dan “beralih 180 darjah” akibat banjir, menyebabkan salah satu tiangnya roboh.
“Suami saya dan rakan-rakannya membantu menegakkan rumah itu supaya beberapa barangan dapat diselamatkan.
“Tugas itu bahaya, kerana rumah itu boleh roboh bila-bila masa,” katanya.
“Antara barangan yang dapat diselamatkan adalah set sofa dan beberapa barangan berharga miliknya, termasuk tali pinggang kulit yang mahal.”
Shazana berkata, warga emas itu tidur di perhentian bas kerana tidak selesa di pusat pemindahan sementara.
“Seorang penduduk kampung menawarkan rumah inapnya untuk didiami mangsa banjir selama enam bulan, dan kami sedang cuba pujuk pakcik itu tinggal di sana,” katanya.
Shazana dan suaminya, Safwan Othman, sedang mengumpul dana untuk membantu kedua-dua lelaki berkenaan. Mereka yang juga ingin membantu boleh membuat sumbangan ke akaun Maybank bernombor 5627 6840 2349 (Anith Shazana Aminuddin) atau hubungi Safwan di safwanothman@gmail.com.-FMT
0 comments:
Catat Ulasan