Khamis, 23 Disember 2021

Isu tular medsos: Kes rumah tangga kakitangan kesihatan disiasat

Seorang pegawai perubatan di sebuah klinik kesihatan sebuah daerah dipercayai di Mersing tular di media sosial.

 JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sedang melakukan siasatan berhubung insiden membabitkan isu rumah tangga penjawat awam sebuah klinik kesihatan di negeri ini yang tular sejak kelmarin.

Pengarah JKNJ, Datuk Dr. Aman Rabu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung isu yang tular di media sosial berkaitan rumah tangga kakitangan sebuah klinik kesihatan.

“Perkara itu dianggap sebagai satu yang serius kerana ia melanggar Etika dan Integriti Penjawat Awam mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Sehubungan itu, JKNJ sedang menjalankan siasatan untuk tindakan lanjut. Kita juga memandang berat tindakan yang diambil oleh pihak pengadu dalam menyebarkan isu berkenaan di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak kelmarin, isu membabitkan seorang pegawai perubatan di sebuah klinik kesihatan sebuah daerah dipercayai di Mersing tular di media sosial.

Ini susulan isterinya yang juga pegawai kesihatan mendedahkan kelakuan curang suaminya itu secara terbuka di media sosial.

Menerusi video yang tular itu, isteri kepada pegawai kesihatan berkenaan berjaya membongkar hubungan sulit suaminya dengan seorang wanita lain, sebelum dia mendakwa diceraikan di hadapan wanita yang menjalinkan hubungan sulit dengan suaminya.- K! ONLINE

0 comments:

Catat Ulasan