Rabu, 29 Disember 2021

MUDA kini dah ‘rasmi’ didaftarkan, kata Syed Saddiq

 

Pada 14 Dis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan MUDA didaftarkan sebagai parti politik secara sah dalam tempoh 14 hari. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Selepas lebih setahun berjuang, akhirnya MUDA didaftarkan secara rasmi pada 23 Dis lalu, kata Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pada sidang media sebentar tadi beliau berkata, kejayaan itu bukti institusi kehakiman negara telah mengagungkan demokrasi DAN Perlembagaan persekutuan dengan memelihara prinsip PEMISAHAN kuasa yang akhirnya menyebabkan MUDA berjaya didaftarkan secara rasmi.

“Kita terima pendaftaran secara rasmi daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (JPPM) pada 23 Dis melalui e-mel dan semalam wakil MUDA sudah mendapat surat rasmi daripada ROS,” katanya.

Bagaimanapun, beliau meminta maaf kepada semua pihak kerana tidak dapat memaklumkan “kejayaan” itu lebih awal kerana semua kepimpinan parti terbabit dalam misi sukarelawan membantu mangsa banjir khususnya di Pahang.

“Saya mohon maaf kerana tak dapat maklum lebih awal kerana semua pimpinan MUDA sedang sibuk bekerja untuk mangsa banjir di seluruh negara dengan kebanyakan kita berada di Pahang,” katanya.

Menyentuh mengenai keahlian parti itu ketika ini, beliau berkata, partinya menerima lebih 60,000 permohonan keahlian sebelum ini dan angka itu dijangka bertambah dengan sistem pendaftaran secara atas talian yang lebih mudah dicapai.

Jelasnya, MUDA menggunakan pendekatan itu bagi mengelakkan timbul sebarang kerenah birokrasi, dengan mengutamakan proses pendaftaran yang lebih telus dan terbuka.

“Kita mahu pastikan MUDA bergerak secara digital sepenuhnya dan tidak perlu dapatkan kebenaran daripada ‘warlord-warlord’ untuk sertai parti,” katanya.

Pada 14 Dis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan MUDA didaftarkan sebagai parti politik secara sah dalam tempoh 14 hari.

Permohonan Syed Saddiq untuk mendaftarkan MUDA sebagai parti politik sah tidak diluluskan JPPM dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dengan pelbagai alasan termasuk tidak mengisi borang dengan betul.

Berikutan itu, pada 24 Ogos lalu, Syed Saddiq dan 12 individu selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran yang baharu bagi mencabar keputusan MDN dan JPPM yang menolak rayuan untuk mendaftarkan MUDA sebagai sebuah parti politik.

Syed Saddiq dan 12 individu itu memohon suatu deklarasi bahawa permohonan untuk mendaftarkan MUDA sebagai sebuah pertubuhan di bawah kategori parti politik adalah teratur dan mematuhi segala keperluan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Mereka juga memohon suatu perintah mandamus untuk kedua-dua responden mendaftarkan MUDA sebagai sebuah pertubuhan dalam kategori pertubuhan politik dalam masa 14 hari dari tarikh perintah.-FMT

0 comments:

Catat Ulasan