BENTONG: Majlis perkahwinan pasangan selebriti terkenal di Genting Highlands dekat sini pada 15 Disember lalu, kini disiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4, Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu, dengan satu video berdurasi 41 saat yang tular dimuat naik menerusi sesawang Facebook memaparkan majlis pasangan selebriti terkenal itu yang diadakan di sebuah villa di tanah tinggi itu.
Katanya, siasatan polis mendapati majlis itu berlangsung kira-kira jam 8.30 malam pada 15 Disember lalu.
"Berdasarkan video terbabit, didapati ada tetamu yang hadir tidak memakai pelitup muka, selain tidak mengamalkan penjarakan sosial, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaiham berkata, keadaan majlis itu didapati telah melanggar SOP Fasa 4 PPN.
Beliau berkata, susulan itu, polis akan mengesan dan mengenalpasti kesemua individu yang hadir pada majlis perkahwinan terbabit.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Perkara 17, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.
Dalam masa yang sama, Zaiham meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden tersebut dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).-BH Online
0 comments:
Catat Ulasan