Jumaat, 17 Disember 2021

WARISAN jadi parti nasional lebar sayap ke Semenanjung

 Presiden WARISAN, Datuk Seri Shafie Apdal berucap ketika menghadiri ketika menghadiri majlis Perasmian Parti Warisan Peringkat Nasional di Pusat Konvensyen Sime Darby. - Foto NSTP/Fariz Iswadi Ismail

Presiden WARISAN, Datuk Seri Shafie Apdal berucap ketika menghadiri ketika menghadiri majlis Perasmian Parti Warisan Peringkat Nasional di Pusat Konvensyen Sime Darby. - Foto NSTP/Fariz Iswadi Ismail

KUALA LUMPUR: Parti Warisan (WARISAN) akan melebarkan sayapnya ke seluruh negara bermula hari ini, dengan fokus untuk menarik penyertaan keahlian daripada pelbagai kaum dan etnik.

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata parti itu juga terbuka untuk membentuk gabungan dengan mana-mana blok sama ada Pakatan Harapan (PH) atau parti-parti yang kini membentuk gabungan kerajaan.

"Buat setakat ini, kita dengan MUDA, bukan kata kita tutup pintu dengan parti lain, tidak. Kita akan maklumkan nanti.

"Setakat ini, kita juga tidak lantik ketua bahagian, belum lagi. Kita pun belum umumkan pengerusi negeri," katanya selepas Majlis Pelancaran WARISAN Peringkat Nasional di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, di sini.

Turut sama hadir, Presiden MUDA, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, beliau berkata, WARISAN juga belum menentukan kawasan mana akan ditandingi mereka khususnya di semenanjung dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Mungkin ada kawasan yang kita tidak masuk langsung. Kita akan lihat nanti. Kita tak boleh beranggapan semua negeri kita akan bertanding. Saya perlu pragmatik. Itu yang saya akan perincikan dengan rakan saya presiden MUDA," katanya.

Ditanya keupayaan WARISAN untuk melebarkan sayap ke semenanjung, sedangkan parti itu lebih dominan di Sabah, beliau yakin tanggapan itu boleh diatasi selepas ini.

"Saya pun pernah jadi Pengerusi Perhubungan (UMNO) di Kedah dulu dan waktu itu, kita mampu ambil alih pentadbiran dari PAS. (WARISAN) terbuka kepada pelbagai bangsa, ia dibuka kepada semua bangsa di semenanjung.

"Dalam perlembagaan parti kita pun cukup jelas, ia didfatarkan di ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) di Putrajaya. UMNOboleh bertanding di Sabah, kenapa WARISAN yang didaftar di Putrajaya juga tidak boleh bertanding di semenanjung," katanya.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu menjelaskan, kini adalah masanya semua pihak melakukan perubahan dalam landskap politik negara, dengan menolak politik berteras kaum tertentu disamping menumpukan pentadbiran yang bersih dan menolak sebarang habuan politik.

"Sebab itu, kita perlu bermula hari ini, tidak boleh lagi tunggu esok atau minggu depan atau tahun depan. Kita mulakan di sini, di Kuala Lumpur ini," katanya.

Mohd Shafie menubuhkan WARISAN selepas keluar UMNO susulan pemecatannya daripada anggota Kabinet Datuk Seri Najib Razak pada 2015.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, WARISAN menjadi sekutu kepada PH, serta membentuk kerajaan pusat bersamanya selain menguasai kerajaan Sabah ketika itu.

-BH Online

0 comments:

Catat Ulasan