KOTA BHARU: Fenomena kepala air di Lata Berangin, dekat Kuala Krai, menyebabkan beberapa kampung berhampiran dilanda banjir, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Muhammad Rizwan Ar-rafee Parsimin, berkata kejadian berlaku susulan hujan lebat serta air dari sungai di daerah Gua Musang dan Terengganu mengalir ke lokasi berkenaan.
Beliau berkata, pertembungan itu menyebabkan arus air di kawasan terbabit menjadi sangat deras dan dikategorikan sebagai kepala air yang kecil berikutan tiada membawa bersama kayu atau balak.
"Kejadian berkenaan menyebabkan beberapa kampung di lokasi berkenaan, iaitu Lata Berangin dan Mengkebang, dinaiki air."Namun setakat ini, penduduk terbabit tidak dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana hanya berlaku banjir kecil.
"Bagaimanapun jika hujan berterusan, ada kemungkinan kampung di kawasan rendah akan dinaiki air. Pihak kami sentiasa membuat pemantauan dan akan memindahkan mangsa dengan segera jika kediaman mereka dinaiki air," katanya kepada BH, hari ini.
Beliau sekali gus menasihati penduduk supaya bersiap sedia untuk berpindah, termasuk meletakkan dokumen penting dan barang berharga di tempat yang selamat.
Terdahulu, rakaman video kejadian kira-kira jam 10.30 pagi tadi itu turut tular dalam media sosial.-BH Online
0 comments:
Catat Ulasan