KUALA LUMPUR: Indonesia menempah tiket ke final Piala AFF 2020 apabila menyingkirkan Singapura 5-3 secara agregat dalam saingan dramatik di Stadium Nasional, sebentar tadi.
Jaringan sendiri Shawal Anuar dan Egy Maulana Vikri pada masa tambahan mengecewakan Singapura yang terpaksa beraksi dengan lapan pemain 4-2 pada aksi separuh akhir kedua itu.
Indonesia di depan seawal minit ke-10 menerusi Ezra Walian sebelum Singapura beraksi dengan 10 pemain apabila Safuwan Baharudin dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-45.
Namun, itu tidak menghalang Singapura mendapatkan gol penyamaan menerusi Song Ui Yong di penghujung babak pertama sebelum mereka kehilangan seorang lagi pemain, Irfan Fandi pada minit ke-66 susulan layangan kad merah.
Stadium Nasional 'meletup' pada minit ke-75 apabila sepakan percuma Shahdan Sulaiman menerjah gawang Indonesia sebelum Pratama Arhan memastikan perlawanan diheret ke masa tambahan dengan gol kedua Indonesia pada minit ke-87.
Peluang Singapura ke final terbuka luas apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti di hujung permainan namun Faris Ramli mensia-siakan kesempatan terbaik itu apabila penaltinya ditepis Nadeo Argawinata.
Singapura kehilangan seorang lagi pemain di penghujung masa tambahan, kali ini giliran penjaga gol mereka, Hassan Sunny dilayangkan kad merah sehingga memaksa penyerang, Ikhsan Fandi menjadi penjaga gol gantian.-BH Online
0 comments:
Catat Ulasan