Khamis, 16 Disember 2021

Kajian ganja, ketum perlu diluluskan -MP Padang Besar

 Pelanggan membeli daun ganja goreng di Bangkok, awal tahun ini. - Foto AFP

Pelanggan membeli daun ganja goreng di Bangkok, awal tahun ini. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mesti membenarkan penyelidik tempatan mengkaji manfaat kanabis, hem dan ketum untuk kegunaan perubatan.

Ahli Parlimen Padang Besar yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata beliau bersama beberapa Ahli Parlimen lain sedang menghimpunkan hasil kajian sedia ada oleh universiti dan syarikat untuk dihantar kepada KKM dan KDN.

Katanya, langkah itu bagi membuktikan manfaat kanabis, hem dan ketum serta menyakinkan KKM dan KDN memberi kelulusan khas kepada penyelidik tempatan, antaranya Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau berkata, kajian industri itu memerlukan kelulusan khas kedua-dua kementerian berkenaan kerana membabitkan penanaman hemp dalam jumlah besar, yang bertentangan dengan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika KKM dan KDN enggan memberi kelulusan itu, Zahidi berkata, beberapa Ahli Parlimen kerajaan, pembangkang dan Bebas akan mengusulkan rang undang-undang (RUU) persendirian bagi mendesak kelulusan penggunaan kanabis, hem dan ketum untuk perubatan dan industri.

Kementerian Pertanian Thailand meyediakan model ladang ganja sebagai panduan untuk petani. - Foto AFP
Kementerian Pertanian Thailand meyediakan model ladang ganja sebagai panduan untuk petani. - Foto AFP

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Awam Kemampan Masa Depan Kanabis Perubatan, Hem Perindustrian dan Industri Ketum di Malaysia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Tasek Gelugor daripada BERSATU, Datuk Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Kuala Kedah daripada PKR, Dr Azman Ismail; Ahli Parlimen Tumpat daripada PAS, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Ahli Parlimen Sik daripada PAS, Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Zahidi berkata, forum hari ini mengumpulkan semula kajian pelbagai pihak, termasuk daripada USM, Pusat Racun Negara, serta syarikat lain yang menjalankan kajian kanabis, hem dan ketum dalam perubatan dan industri.

"Kita juga akan kumpulkan kajian dan cadangan mengenai kawalan salah guna bahan ini serta cara membantu individu yang ketagihan akibat salah guna ini, untuk diserah kepada kerajaan secepat mungkin.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata, kerajaan tiada alasan untuk menolak kelulusan kajian berkenaan kerana kanabis, hem dan ketum bukan saja memiliki banyak manfaat, malah memiliki nilai yang tinggi dalam pasaran global.

Katanya, nilai hem dalam pasaran global sekitar RM95 bilion dan bakal meningkat hingga mencecah RM250 bilion, manakala ketum pula bernilai lebih RM200 bilion.

Dengan nilai dan permintaan tinggi dalam pasaran industri dan perubatan, katanya, industri kanabis, hem dan ketum berpotensi membantu 2.8 juta pekebun kecil, petani, nelayan dan individu yang hilang pekerjaan akibat COVID-19, selain melonjak Malaysia menuju ke arah ekonomi gergasi.

"Kita sebut industri ketum sebab nak eksport, bantu ekonomi negara dan rakyat. Tapi pihak berkuasa hanya fikirkan soal 'cokoroi' (air ketum).

"Negara dan rakyat berdepan banyak isu ekonomi dan perubatan yang tidak boleh diselesaikan dengan slogan, sebaliknya perlukan sesuatu yang baru dan saya yakin jawapannya ialah kanabis, hem dan ketum untuk perubatan dan industri," katanya.

Selain itu, katanya, industri tanaman itu juga bakal membantu usaha negara dalam meyakinkan Kesatuan Eropah (EU) untuk tidak memboikot produk sawit negara.

"EU boikot sebab isu alam sekitar. Hem boleh membantu kita atasi faktor ini kerana tanaman hem boleh menyerap karbon tiga kali ganda lebih tinggi berbanding tanaman lain," katanya.-BH Online

0 comments:

Catat Ulasan