Seorang pegawai polis berpangkat Senior Asisten Komisioner serta pengendali laman Facebook ‘Jebat JD’ sedang disiasat kerana mendedahkan maklumat sulit berkaitan operasi menangkap ‘Long Tiger’, lelaki Rohingya semalam.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kertas siasatan sudah dibuka terhadap ‘Jebat JD’ yang berasal dari Klang yang juga bekas anggota polis.
Menurutnya seorang anggota polis lain berpangkat koperal dan seorang pegawai berpangkat SAC turut disiasat berhubung kebocoran maklumat sulit itu.
“Seorang suspek iaitu pemilik FB Jebat JD. Kita dah buka kertas siasatan terhadap lelaki berusia 47 tahun berasal dari Klang ini, serta seorang anggota polis berpangkat koperal dan SAC yang terlibat menyebar maklumat sulit.
“Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 203 Kanun Keseksaan kerana mendedahkan maklumat sulit dan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Katanya, tindakan tatatertib turut akan diambil terhadap Ketua Polis Daerah dan Ketua Balai daerah Tangkak berhubung kecuaian dan penyeliaan sehingga menyebabkan Long Tiger dapat lolos daripada tahanan.
Semalam, Long Tiger yang dilaporkan melarikan diri dari lokap mahkamah Tangkak, Johor pada 15 Disember lalu diberkas bersama seorang pondan di sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah.
Dalam cubaan mengelak daripada ditangkap, ‘Long Tiger’ dilaporkan memanjat bumbung rumah itu, tetapi tergelincir dan jatuh.
Long Tiger sebelum ini meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan bermula pada 15 Disember lalu, kira-kira jam 11.55 pagi.
Sejak kehilangannya, Long Tiger menjadi buruan polis selain peguam mewakilinya, Datuk Sharudin Ali turut menarik diri daripada mewakilinya.
Dua anggota polis turut digantung tugas bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan kerana disyaki terbabit secara langsung atas kesalahan cuai sehingga menyebabkan tahan itu melarikan diri.
-Agenda Daily
0 comments:
Catat Ulasan