Selasa, 28 Disember 2021

Pelawak, pelakon tertarik mesin pancutan air diguna Rina


Aksi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun, membersihkan najis cicak dan unggas di sebuah sekolah semalam turut menarik perhatian beberapa selebriti tempatan.

Mereka antaranya membayangkan longkang kotor dalam imej yang tular itu telah pun kembali bersih selepas ia mendapat ‘sentuhan’ Rina.

 Pelawak Achey Bocey misalnya secara berkias berkata, dia teringin membeli alat pancutan air (water jet) yang berkualiti bagus dan enggan tersilap langkah jika terbeli yang hanya boleh menolak lumut di tepi longkang.

“Ada rakan cadangkan beli water jet ni. Katanya, iklan bagus, ingin beli tapi ragu-ragu pilihan tak tepat.

“Harga macam mahal tapi risau kualiti tak setanding harga. Kalau boleh kita nak beli water jet yang boleh tolak lumpur lepas banjir, bukan sekadar tolak lumut di tepi longkang.

“Cuma, nak pilih yang ni ke tak ya? Ke ada jenama lain?" katanya di Instagram hari ini.

Macam air bomba

Kenyataan itu kemudian mendapat pelbagai reaksi daripada pengikut akaunnya. Yana Samsudin misalnya berkata, dia boleh melihat keberkesanan alat itu dalam membersihkan lumpur.

“Kuat betul tekanan air dari mesin ni. Aku boleh nampak rumput pun hijau sampai tak ada lumpur. Berkenan pula. Tapi itulah, aku dah terbeli jenama lain beb.

Private message tepi beb untuk jenama aku beli tu,” katanya sinis.

Usahawan dan ikon fesyen Wak Doyok pula secara sinikal berkata: “Kuatnya air macam air bomba.”

Terdahulu, video Rina sedang mencuci longkang dan kaki lima di sebuah sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) tular semalam. Ia kemudian dipersoalkan kerana dia dianggap membersihkan lantai sudah sedia bersih.

Bagi menjelaskan hal sebenar, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam satu kenyataan tampil membela dan menafikan segala tuduhan yang dilemparkan ke atas ketua Wanita Bersatu tersebut.

JKM berkata, Rina dan 200 lagi sukarelawan bertugas membersihkan najis unggas dan cicak serta mengemas PPS yang akan ditutup.

Sementara itu, pelakon Azad Jasmin pula berkata, ada seseorang yang sedang bersuka-ria di tepi longkang.

“Aku nak beli longkang tu, nak telefon pegawai mana ya? Sebab bila hubungi, operator jawab: 'The number that you call is out station having fun at the longkang…' Macam mana ye?” katanya.

-Malaysiakini

0 comments:

Catat Ulasan