MANCHESTER: Cristiano Ronaldo melepasi rekod 800 jaringan buat kelab dan negara selepas meledak dua gol ketika Manchester United menumpaskan Arsenal 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang penuh insiden hari ini.
Pada minit ke-13, Arsenal membuka jaringan menerusi Emile Smith Rowe dengan cara pelik berpunca dari sepakan penjuru.
Penjaga gol United, David De Gea ketika itu sedang terbaring sambil memegang kaki selepas rakan sepasukan, Fred secara tidak sengaja terpijak buku lalinya.
Rowe melakukan rembatan ke gawang yang tidak kosong dan memandangkan pengadil, Martin Atkinson tidak meniup wisel sebelum bola masuk ke dalam jaring maka tiada kekasaran berlaku, gol itu kekal.
United menyamakan kedudukan seminit sebelum rehat menerusi rembatan Bruno Fernandes dan Ronaldo meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-52 apabila menyempurnakan hantaran lintang rendah Marcus Rashford untuk gol ke-800nya.
Perlawanan semakin sengit apabila Gunners membalas dengan gol pantas Martin Odegaard untuk menyamakan kedudukan 2-2, dua minit kemudian.
Pada minit ke-70 Odegaard bagaimanapun melakukan kekasaran yang tidak sepatutnya ke atas Fred untuk menghadiahkan sepakan penalti buat United.
Ronaldo menyempurnakan tendangan untuk jaringan ke-801 sepanjang kariernya, sekali gus memberi kemenangan liga pertama buat Red Devils selepas empat perlawanan. – AGENSI
0 comments:
Catat Ulasan