Kuala Lumpur: Lazimnya, masyarakat biasa melihat adik beradik bersanding di atas pelamin sama.
Namun, berbeza bagi Asnida Ramli, 41, dan anak perempuannya, Amira Asyira Mohd Hasrizal, 22, yang sepakat untuk bersanding bersama pada hari bahagia mereka.
Asnida diijabkabulkan dengan pasangannya Mohd Fandi Ahmad Daud, 40, pada 12 Disember lalu di kediaman ibunya di Jelebu, Negeri Sembilan.
Sementara, Amira Asyira melangsungkan pernikahan bersama pilihan hatinya, Faizal Lestari Syapril, 27, Jun lalu.
Asnida ketika dihubungi berkata, anaknya yang memberi cadangan untuk bersanding sekali memandangkan dia tidak dapat mengadakan majlis pada Jun lalu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Majlis persandingan ini diadakan secara kecil-kecilan sahaja bagi menjaga keselamatan dan kesihatan tetamu.
"Kami hanya menjemput 350 tetamu yang rata-rata terdiri daripada keluarga dan sahabat terdekat," katanya.
Katanya, mereka turut mengenakan pakaian pengantin berwarna kelabu walaupun tidak dirancang.
Menceritakan kisah perkenalannya dengan suami, Asnida berkata, mereka tinggal di kampung yang sama sebelum ini, bagaimanapun tidak pernah bertegur dek segan.
"Satu hari kami bertegur di Facebook dan bermula dari situlah detik perkenalan antara satu sama lain, dan dia melamar saya untuk menjadi isteri.
"Alhamdulillah anak-anak kami juga menerima dengan hati yang terbuka, malah mereka banyak mendorong saya untuk berkahwin lagi," katanya.
Ibu kepada lima orang anak ini turut berkata, kehadiran dua insan baharu dalam kehidupannya seperti membuka lebaran baharu dalam hidupnya selepas lima tahun hidup sendiri bersama anak-anak.
Katanya, mereka juga menerima berita gembira berganda apabila anaknya, bakal menimang cahaya mata.-myMetro
0 comments:
Catat Ulasan