Selasa, 28 Disember 2021

Video: 'Saya percaya, semuanya sudah tertulis' Ini jodoh kami berdua

 


Kuala Lumpur: Kekurangan fizikal nyata bukan halangan untuk Aidafazira Mohd Alias mengecap bahagia apabila ditakdirkan bertemu jodoh dengan Mohd Faridzal Idris yang dapat menerima dirinya seadanya.

Aidafazira, 27, dan Mohd Faridzal, 28, selamat diijabkabulkan pada 18 Disember lalu di Masjid Darul Ehsan Taman TAR, Ampang, di sini, manakala majlis persandingan diadakan di Taman Kota Muhibbah, Teluk Intan, Perak, kelmarin.

Perkahwinan mereka mendapat perhatian apabila tular video dimuat naik di TikTok menunjukkan Aidafazira didukung abangnya, Mohd Shahril Mohd Alias, 29, sebelum disambut suami untuk bersanding di atas pelamin.

Berkongsi kisah sebenar, Aidafazira yang bekerja sebagai pereka grafik berkata, dia kudung kaki kanan dan pendek kaki kiri sejak lahir lagi.

Katanya, jari tangan kanannya juga ada empat saja manakala yang kiri (jari tangan kiri) bercantum.

AIDAFAZIRA dan Mohd Faridzal selamat diijabkabulkan pada 18 Disember lalu. FOTO Ihsan Aidafazira Mohd Alias
AIDAFAZIRA dan Mohd Faridzal selamat diijabkabulkan pada 18 Disember lalu. FOTO Ihsan Aidafazira Mohd Alias

"Disebabkan itu, saya agak berat hati untuk bercinta kerana pernah dikecewakan dulu oleh lelaki yang malu dan tidak boleh menerima kekurangan saya.

"Ditakdirkan, saya berkenalan dengan suami di Facebook (FB) pada September 2011 dan awalnya kami sekadar berkawan saja tetapi dia ada minta nombor telefon saya untuk berhubung.

"Saya tolak permintaannya kerana tidak yakin dan bimbang kecewa lagi malah sudah berterus terang dengan suami mengenai keadaan dan kekurangan diri sejak awal perkenalan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

AIDAFAZIRA Mohd Alias didukung abangnya, Mohd Shahril (gambar kanan). Aidafazira dan Mohd Faridzal bergambar dengan keluarga (gambar kiri). FOTO Ihsan Aidafazira Mohd Alias
AIDAFAZIRA Mohd Alias didukung abangnya, Mohd Shahril (gambar kanan). Aidafazira dan Mohd Faridzal bergambar dengan keluarga (gambar kiri). FOTO Ihsan Aidafazira Mohd Alias

Menurut Aidafazira, suaminya pada mulanya tidak percaya dengan apa diceritakan sehingga melihat sendiri keadaannya ketika bertemu kali pertama di sebuah restoran makanan segera di Teluk Intan, Perak pada awal 2012 iaitu selepas tiga bulan berkenalan.

"Ketika itu, saya datang ke restoran itu dengan ditemani arwah emak (Sabariah Hashim) dan selepas pertemuan itu, saya ada bertanya dengan suami sama ada mahu terus berkawan atau sebaliknya.

"Ini kerana saya tidak kisah jika suami mahu memutuskan hubungan memandangkan belum ada perasaan cinta namun agak mengejutkan apabila dia sanggup terima saya.

"Saya tetap tidak menaruh harapan lagi ketika itu namun perasaan sayang timbul selepas melihat kesungguhan serta pengorbanannya yang sanggup berulang alik dari Kuala Lumpur ke Perak menaiki bas untuk bertemu saya," katanya.

Aidafazira berkata, hubungan mereka direstui kedua belah keluarga dan dia bersyukur dijodohkan dengan lelaki yang baik serta sudi menerimanya.

"Saya pernah menjangkakan tidak akan berkahwin sampai bila-bila kerana berasa susah untuk mendapat pasangan yang boleh menerima dan sehidup semati dengan saya.

"Akan tetapi, saya berserah kepada Allah kerana percaya jodoh, rezeki, ajal dan maut semuanya sudah tertulis.

"Alhamdulillah, Allah hadirkan pasangan buat saya dan kami sempat bertunang pada 8 Ogos tahun lalu iaitu ketika ulang tahun kelahiran saya .

"Banyak ujian ketika fasa bertunang namun saya bersyukur dapat disatukan pada tarikh dirancang," katanya yang berharap supaya OKU di luar sana tidak berputus asa dan yakin dengan perancangan Allah.

Sementara itu, Mohd Faridzal bersyukur kerana kini sah bergelar suami kepada Aidafazira selepas 10 tahun berkenalan dan mengharungi pelbagai kisah suka duka.

"Selepas bertemu dengan isteri dulu, saya ada berfikir juga hala tuju hubungan kami dan minta pandangan emak dan ayah.

"Mereka tiada halangan malah merestui hubungan kami dan hari ke hari, saya semakin sayangkan isteri cuma serah soal jodoh pada Allah hingga ditakdirkan dia menjadi pasangan saya.

"Saya terima dan anggap ini jodoh malah akan berusaha menjaganya dengan baik sehingga akhir hayat. Lagipun, itu janji saya dengan keluarga serta arwah ibunya dulu," katanya.-myMetro

0 comments:

Catat Ulasan