PARTI POLITIK TIDAK BOLEH GUNA ISLAM
PANDANGAN SS Datuk MUFTI YANG TERSASAR
Sekali Serban Dililit. 205
27 Rajab 1446 | 17 Jan 2025
Oleh : Nasrudin bin Hassan
https://m.facebook.com/serbandililit
Mutakhir ini timbul kembali kenyataan yang saya sifatkan sebagai kenyataan berulang atau kenyataan yang DIKITAR SEMULA, bahawa penggunaan Islam oleh parti politik hendaklah dilarang.
Lebih malang apabila kenyataan itu dikitar semula oleh seorang yang berjawat MUFTI. Sedang kenyataan sebegini lahir daripada KEKELIRUAN ASAS dalam memahami hubungan Islam dengan KUASA, POLITIK dan PERJUANGAN.
Bagaimana seorang yang bertaraf MUFTI mencadangkan agar PARTI POLITIK TIDAK BOLEH MENGGUNAKAN ISLAM sehingga meminta agar diadakan satu enakmen yang melarang pengunaannya oleh parti politik.
Satu pandangan dan cadangan yang sangat DANGKAL. Sama dangkalnya jika saya berpandangan agar MUFTI juga tidak boleh gunakan Islam dan perlu ada satu enakmen yang melarang mufti menggunakan Islam dalam ucapannya mahupun fatwanya .
Daripada Abu Ḥāzim, beliau berkata: Aku telah duduk bersama Abu Hurairah selama lima tahun, lalu aku mendengarnya meriwayatkan daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda:
كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الْأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَتَكُونُ خُلَفَاءُ فَتَكْثُرُ
قَالُوا: فَمَا تَأْمُرُنَا؟
قَالَ: فُوا بِبَيْعَةِ الْأَوَّلِ فَالْأَوَّلِ، وَأَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ، فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ
“Adalah Bani Israil urusan siasah (politik) mereka diurus tadbir oleh para Anbiya’. Setiap kali seorang nabi wafat maka digantikan selepasnya oleh nabi yang lain. Dan sesungguhnya tidak ada nabi selepasku dan akan ada para khalifah, lalu mereka akan menjadi ramai.”
Para sahabat bertanya: “Apa yang engkau perintahkan kepada kami?”
Baginda SAW bersabda: “Tunaikanlah bai‘ah kepada yang pertama kemudian yang pertama dan berikanlah kepada mereka hak-hak mereka kerana sesungguhnya Allah akan menyoal mereka tentang AMANAH KEPIMPINAN yang telah diserahkan kepada mereka.”
Riwayat Imam Al Bukhari (3455) dan Muslim (1842)
KONDISI ISLAM YANG PERLU DIFAHAMI
PERTAMA : ISLAM BUKAN AGAMA PERIBADI DAN STATIK
Islam bukan agama peribadi atau bersifat ritual sekadar upacara ibadah yang menghubungkan manusia dengan tuhan seperti solat, puasa, haji dan zakat semata-mata, bahkan Islam adalah agama risalah yang WAJIB DIPERJUANGKAN sebagai MANHAJ KEHIDUPAN dan WAJIB DITEGAKKAN dalam seluruh aspek kehidupan termasuk PEMERINTAHAN dan POLITIK.
Jika sebuah parti yang memperjuangkan Islam seperti PAS,
menggunakan Islam sebagai ASAS, SUMBER dan AGENDA PERJUANGAN, maka ia adalah suatu KEWAJIPAN, bukan kesalahan.
Lihat objektif PENUBUHAN dan PERJUANGAN PAS sebagai sebuah gerakan Islam adalah bertolak dari dua tujuan utama : (sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan PAS Fasal ke 5)
a) MEMPERJUANGKAN wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah swt.
b) MEMPERTAHANKAN kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Justeru dimana salahnya PAS menggunakan agama bagi maksud memperjuangkan Islam di bumi bertuah ini. Pastinya yang ditegah oleh syarak ialah PENYALAHGUNAAN AGAMA, seperti :
• Menggunakan Islam untuk menjustifikasi kebatilan
• Menyelewengkan nas dan hukum
• Mengkhianati maqasid syariah
KEDUA: ISLAM ITU AGAMA YANG WAJIB DITEGAKKAN
Firman Allah SWT
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ
Dan hendaklah engkau menghukum di antara mereka dengan apa yang Allah turunkan, dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu mereka.
Surah al-Mā’idah : 49
Ayat ini bukan nas ibadah peribadi, tetapi ayat yang berkait dengan pemerintahan dan siasah (politik). Apakah parti politik tidak boleh membaca ayat ini ?
Apakah parti politik tidak boleh menggunakan ayat ini untuk mengajak masyarakat dalam siri kempennya agar masyarakat sokong perjuangannya untuk menegakkan hukum Allah dan mendaulatkannya ?
Bagaimana hendak laksanakan undang-undang yang diturunkan oleh Allah SWT di dalam Al Quran jika sebuah parti politik yang memperjuangkan Islam tidak boleh menggunakan Islam bagi mendapatkan sultah (kuasa pemerintahan) ?
Sedang Allah SWT perintah supaya undang-undang atau hukum hakam itu dilaksanakan.
Saya ambil satu contoh undang-undang dalam Islam yang termaktub di dalam Al Quran (Surah an Nur : Ayat 2). Berkait hukuman sebat ke atas pelaku zina.
Pelaksanaan Islam ini sangat komprehensif. Bermula dengan mewujudkan sebuah negara BERDAULAT agar ada authoriti menggubal undang-undang dan meluluskan pelaksanaannya.
Kemudian perlu menubuhkan INSTITUSI PENDIDIKAN bagi mendidik dan mengasuh masyarakat bahawa zina itu salah dan haram hukumnya, jika masih melakukan zina, lalu ditangkap, didakwa dan dibicara, sabit kesalahan maka dijatuhkan hukuman.
Kemudian perlu ada INSTITUSI PENGUATKUASAAN seperti polis, Jabatan agama dan lainnya untuk urusan menangkap dan menahan pesalah atau pelaku jenayah.
Seterusnya perlu ada PENDAKWARAYA untuk urusan pendakwaan, perlu ada JABATAN GUAMAN untuk tujuan perbicaraan kes, perlu ada MAHKAMAH sebagai proses perbicaraan, perlu ada HAKIM yang mengendali dan mendengar lalu memutuskan kes yang dibicara. Jika sabit kesalahan, dijatuhkan hukuman maka perlu ada PELAKSANA HUKUM termasuklah perlu ada JABATAN PENJARA jika pesalah dijatuhkan hukuman takzir seperti penjara.
Kesemuanya itu perlu kepada POLITIK. Malah untuk memastikan semuanya menepati Islam, maka parti politik yang memperjuangkan Islam seperti PAS, mesti perjuangkan ISLAM bagi memastikan kesemuanya itu dapat dilaksanakan sesuai tuntutan Al Quran dan As Sunnah.
SS Mufti jangan buat NAKAL untuk menafikan perkara ini. Memastikan hukum Islam ini dapat dilaksanakan, ia tidak dapat tidak mesti melalui JALUR SIASAH (politik).
Pelaksanaan undang-undang perlu melalui kuasa politik. Kerajaan yang memerintah bertanggungjawab gubal undang-undang. Sedang kerajaan itu dibentuk melalui kemenangan parti politik dalam pilihanraya.
Firman Allah SWT
الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ
(Iaitu) orang-orang yang jika Kami beri mereka kekuasaan di bumi, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.
Surah al-Ḥajj : Ayat 41
Ayat ini mengenai Kekuasaan (tamkīn) yang dikaitkan secara langsung dengan pelaksanaan Islam dan syariatnya.
KETIGA: POLITIK ADALAH WASILAH MENEGAKKAN AGAMA
Hujjatul Islam Imam Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazālī رحمه الله (w. 505H) menyebut di dalam Ihya’ ‘Ulumiddin (Kitaabul ‘ilmi).
الدِّينُ أَسَاسٌ، وَالسُّلْطَانُ حَارِسٌ، وَمَا لَا أَسَاسَ لَهُ فَمَهْدُومٌ، وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعُ
Agama itu asas, dan kekuasaan itu penjaganya. Apa yang tiada asas akan runtuh, dan apa yang tiada penjaga akan hilang.
Justeru itu, SS Mufti kena faham bahawa memisahkan agama daripada kuasa bermakna membiarkan agama runtuh. Sementara kuasa itu dihasilkan melalui jalur politik dengan penglibatan parti politik yang ditubuh.
Kalau ada mufti yang tidak menerima pandangan Hujjatul Islam Imam Al Ghazali Rhm. saya bawakan pandangan Syeikhul Islam Imam Ahmad Ibn Taimiyah Al Harraani Rhm (w. 728H) dalam kitab As Siyaasah As Syar’iyyah Fi Islaahi Ar Raa’ii wa Ar Ra’iyyah (muka surat 161)
يَجِبُ أَنْ يُعْلَمَ أَنَّ وِلَايَةَ أَمْرِ النَّاسِ مِنْ أَعْظَمِ وَاجِبَاتِ الدِّينِ، بَلْ لَا قِيَامَ لِلدِّينِ إِلَّا بِهَا
Wajib diketahui bahawa mentadbir (siasah-politik) urusan manusia adalah antara kewajipan agama yang paling besar bahkan agama tidak akan tegak melainkan dengannya.
Maksudnya SS Mufti itu kena faham bahawa POLITIK adalah sebahagian daripada kewajipan agama dan parti politik itu adalah platform, medium atau wasilah untuk memperjuangkan agama dan melaksanakannya.
KEEMPAT: SALAH FAHAM “GUNA AGAMA” VS “PENYALAHGUNAAN AGAMA”
Al-Qur’an Mengharamkan Penyalahgunaan Agama
وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Dan janganlah kamu campur-adukkan kebenaran dengan kebatilan, dan janganlah kamu sembunyikan kebenaran sedang kamu mengetahuinya.
Surah al-Baqarah : 42
Inilah larangan sebenar, menyalahgunakan agama untuk menutup kebatilan.
كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ
Sangat besar kemurkaan di sisi Allah apabila kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan.
Surah aṣ-Ṣaff : 3
Ini juga bentuk penyalahgunaan agama apabila bercakap atas nama Islam tanpa amanah. Cakap banyak, sembang kencang tapi dia sendiri “harey” tak buat apa.
KELIMA: PARTI YANG MEMPERJUANGKAN ISLAM SELAYAKNYA MENGGUNAKAN ISLAM
Jika sesebuah parti:
• Berteraskan Islam
• Menjadikan al-Qur’an dan Sunnah sebagai sumber
• Berjuang untuk menegakkan dan mendaulatkan syariah
Maka melarangnya “menggunakan Islam” sama seperti melarang Islam ditegakkan olehnya.
Asy Syahid Imam Ḥasan al-Bannā Rhm
نَحْنُ نَعْتَقِدُ أَنَّ أَحْكَامَ الْإِسْلَامِ وَتَعَالِيمَهُ شَامِلَةٌ لِشُؤُونِ النَّاسِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ
Kami berpegang bahawa hukum-hakam Islam dan ajarannya merangkumi seluruh urusan manusia di dunia dan akhirat.
Majmū‘at Rasā’il al-Imām al-Bannā, hlm. 85
Asy Syahid Sayyid Quṭb Rhm
إِنَّ الْإِسْلَامَ لَا يَقْبَلُ التَّجْزِئَةَ، وَلَا يَرْضَىٰ أَنْ يُحْبَسَ فِي الْمَسَاجِدِ
Sesungguhnya Islam tidak menerima pemisahan, dan tidak reda untuk dikurung di dalam masjid semata-mata.
Fī Ẓilāl al-Qur’ān, Muqaddimah
KEENAM: PENYALAHGUNAAN AGAMA TETAP HARAM KE ATAS SEMUA
Secara prinsipnya, parti politik tidak boleh menyalahgunakan agama. Bahkan mufti, alim ulama dan pendakwah juga tidak kebal daripada larangan ini. Semua tertakluk kepada al-Qur’an dan Sunnah
مَنْ قَالَ فِي الْقُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Riwayat Imam al-Tirmizi (2950) ~ Hasan Sahih
Sesiapa yang berkata tentang al-Qur’an tanpa ilmu, maka bersedialah menempati tempat duduknya di neraka.
FAHAMILAH
1. Islam wajib ditegakkan, bukan sekadar diamalkan secara individu
2. Politik ialah wasilah syar‘iyyah untuk menegakkan agama
3. Menggunakan Islam untuk memperjuangkan Islam adalah kewajipan
4. Yang haram ialah penyalahgunaan agama, bukan penggunaannya
5. Larangan mesti ditujukan kepada penyelewengan, bukan kepada Islam itu sendiri
Jika Islam dilarang daripada politik, maka siapakah yang akan menjaga agama daripada ditindas oleh kuasa?
Sekian.










0 comments:
Catat Ulasan