GEORGE TOWN: Warisan menyasarkan untuk bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Koordinatornya Jeff Ooi, berkata lebih ramai individu daripada pelbagai latar belakang politik dijangka menyertai parti itu.
Katanya, beliau berharap dapat merekrut 50% ahlinya terdiri daripada golongan profesional muda, termasuk pemimpin syarikat terkemuka.
“Kami tidak akan terperangkap dengan slogan seperti parti lama kami. Kami tidak akan memusuhi orang lain. Kami mencari rakan kongsi dan belia untuk menyertai kami,” kata bekas Ahli Parlimen DAP Jelutong selama dua penggal itu pada sidang media hari ini.
“Tiada satu kerusi pun patut ditinggalkan. Kami akan bertanding di semua kerusi.”
Ooi berkata beliau sedar bahawa rakyat Pulau Pinang akan ragu-ragu dengan Warisan tetapi merasakan ia boleh memenangi hati mereka dalam tempoh tertentu.
Menurutnya, parti itu akan mengadakan pakatan strategik dengan parti lain yang berkongsi matlamat dan cita-cita bersama.
Katanya, beliau dan bekas ADUN Batu Lanchang Danny Law meninggalkan DAP selepas tidak diberi peluang dan melihat perebutan kuasa memuncak ketika 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah yang menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri.
Katanya, ketidakstabilan politik telah menjejaskan ekonomi negara.
“Kami berasa sedih. Law beritahu saya kita perlu buat sesuatu. Ketika itu, kami tidak diberi peluang untuk menyumbang.
“Kami fikir mengapa tidak Warisan kerana kami berdua adalah idealis parti berbilang kaum dan inklusif.
“Realitinya PH tidak lagi memegang nilai itu. Selepas 22 bulan, kami tidak nampak ke mana hala tuju mereka dan mereka tidak mempunyai suara bersatu bergerak ke depan,” katanya.
Ooi berkata Warisan, yang matlamat utamanya adalah untuk mengambil alih Putrajaya, memujuk ADUN Bebas Selangor Bryan Lai, yang sebelum ini bersama DAP, untuk menyertai kumpulannya baru-baru ini.
Beliau membayangkan bahawa seorang ADUN Pulau Pinang mungkin melakukan perkara yang sama.
Ooi berkata dengan Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik, kepelbagaian pengundi telah berubah dengan lebih ramai golongan muda menentukan masa depan negara.-wrlr
0 comments:
Catat Ulasan