Rabu, 19 Januari 2022

Vaksin tidak akan luput selepas disuntik dalam badan – Dr. Malar

Tangkap layar klip video Dr. Malar yang menjelaskan tentang isu tarikh luput vaksin di media sosial.

PETALING JAYA – Dakwaan sesetengah individu terutamanya golongan antivaksin bahawa vaksin yang telah disuntik di dalam badan mempunyai tarikh luput adalah tidak tepat.

Mendedahkan perkara itu, Dr. Malar Santhi Santherasegapan atau lebih dikenali dilaman Facebook dengan Celoteh Dr. Malar menjelaskan bahawa vaksin yang telah disuntik ke dalam badan tidak mempunyai tarikh luput.

Kata Dr. Malar, hanya vaksin yang belum disuntik dalam badan sahaja yang mempunyai tarikh luput dan perlu digunakan sebelum tarikh yang tertera pada setiap botol.

Maksud sebenar tarikh luput adalah ‘best before’ atau guna sebelum, sebagai contoh jika tarikh luputnya pada 1 Januari 2022, kena guna atau suntik dalam badan sebelum tarikh itu.

“Selepas tarikh itu sudah tak boleh suntik. Tetapi bila sudah ada dalam badan vaksin itu tidak akan luput pada tarikh berkenaan,” katanya di laman Facebook.

Menjelaskan lagi isu berkenaan Dr. Malar memberitahu, semua produk mempunyai tarikh luput contohnya roti, sardin, susu malahan ubat sekali pun mempunyai tarikh luput.

Namun katanya, apabila berada dalam badan semua produk itu tidak mempunyai tarikh luput lagi sama seperti vaksin.

“Contohnya jika beli roti hari Isnin, makan pada hari Selasa dan tarikh luputnya pada Rabu. Adakah roti itu basi pada hari rabu ketika berada di dalam badan?

“Tarikh luput atau ‘best before’ hanya ada bagi produk yang belum digunakan (sebelum masuk dalam badan). Apabila berada dalam badan ia sudah tidak ada tarikh luput,” ujarnya. -K! ONLINE

0 comments:

Catat Ulasan