Khamis, 6 Januari 2022

Covid19: Solat jemaah rapat saf di Perlis berkuat kuasa 8 Januari ini

 GAMBAR hiasan

GAMBAR hiasan

Arau: Semua masjid di seluruh Perlis akan mula melaksanakan solat berjemaah dengan merapatkan saf berkuat kuasa pada solat Subuh Sabtu ini, sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan.

Yang Di Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, keputusan dilakukan selepas mendapat limpah perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail selepas meneliti perkembangan semasa Covid-19 di negeri ini.

"Selain itu, keputusan juga dibuat berikutan peratusan tinggi vaksinasi lengkap dan peningkatan dos penggalak yang mencapai kadar 16.9 peratus atau 30,575 penerima berdasarkan maklumat terkini pada 2 Januari lalu selain keadaan penularan wabak di Perlis berada dalam keadaan terkawal.

"Sehubungan itu, baginda mempertimbang dengan penuh hikmah dan teliti serta menilai dengan penuh bijaksana dan berhati-hati dalam menjalankan tanggungjawab Raja Pemerintah dan Ketua Agama Negeri.

"Maka sukacita dimaklumkan berkaitan kebenaran bersyarat amalan merapatkan saf solat berjemaah di masjid seluruh negeri Perlis berkuat kuasa pada Subuh 8 Januari depan iaitu Sabtu, sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak," titah baginda pada kenyataan hari ini.

Titah baginda, kebenaran pelaksanaan itu membabitkan semua masjid di seluruh Perlis sahaja manakala surau atau tempat solat umum atau awam kekal tidak dibuka.

Larangan ini termasuk kepada surau atau tempat solat di agensi, institusi, maahad tahfiz dan sebagainya melainkan dengan kebenaran khas daripada MAIPs dan melalui Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs).

Baginda bertitah, sehubungan itu, dalam melaksanakan amalan solat dengan merapatkan saf, jemaah diwajibkan merapatkan saf ketika menunaikan solat dengan kadar jarak sejadah masing-masing berdasarkan syarat saiz sejadah adalah standard dan tidak berlaku sentuhan fizikal.

"Bagaimanapun, jemaah yang tinggal serumah diwajibkan merapatkan saf tanpa terikat dengan syarat di atas. Daripada segi pengekalan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada pula, hendaklah kekal dipatuhi dan ini merangkumi setiap masa, selain waktu menunaikan solat sama ada ketika selesai solat, ketika mendengar kuliah dan sepanjang tempoh berada di masjid," titah baginda.

Pematuhan SOP masih perlu diteruskan seperti kekal melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter serta memakai pelitup muka.

Jemaah masih perlu membawa sejadah sendiri bersaiz standard, mengambil wuduk sebelum ke masjid, mengimbas suhu badan dan melaksanakan rekod penjejakan sosial dengan mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan.

Baginda bertitah, pematuhan terhadap SOP ini adalah diperketatkan dan tidak dibenarkan sebarang kontak sentuhan fizikal seperti bersalaman.

Jemaah yang menerima suntikan vaksin lengkap sama ada dewasa, kanak-kanak atau warga emas dibenarkan hadir ke masjid.

Golongan bergejala seperti demam, sesak pernafasan, sakit tekak, selesema dan sebagainya juga dilarang hadir ke masjid.

Titah baginda, semua aktiviti pengimarahan seperti kuliah, ceramah termasuk jamuan adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP kesihatan dan keselamatan yang berkuatkuasa.

Baginda yang juga Raja Muda Perlis berharap seluruh rakyat Perlis sentiasa mematuhi SOP dan ketetapan yang diperkenankan ini.

"Nikmat kesihatan dan keselamatan yang dikurniakan oleh Allah SWT ini haruslah disyukuri.

"Kesungguhan mengimarahkan masjid perlu diteruskan selain meneruskan ikhtiar pencegahan penularan Covid-19 dalam suasana norma dan kelaziman baru," titah baginda.-myMetro

0 comments:

Catat Ulasan