Isnin, 24 Januari 2022

Dos penggalak bukan pengakhir vaksin Covid-19?

Dos penggalak diperlukan kerana kesan perlindungan atau tahap peneutralan antibodi bagi semua vaksin.

Walaupun pada peringkat awal ramai yang meragui keberkesanan vaksin Covid-19, tetapi pengambilan suntikan vaksin menunjukkan peningkatan 97.2 peratus orang dewasa (18 tahun ke atas) mendapat vaksinasi lengkap dua dos.

Persoalannya, sebelum ini ada jaminan dos penggalak tidak diperlukan, kenapa berubah?

Realitinya, suntikan dos penggalak diperlukan kerana kesan perlindungan atau tahap peneutralan antibodi bagi semua vaksin, cenderung menurun mengikut peredaran masa.

Ketua dan Perunding Penyakit Berjangkit, Pusat Pengajian Perubatan di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Dr. James Koh berkata, suntikan penggalak bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana kebanyakan vaksin memang ada dos penggalaknya.

 Contoh, vaksin Hepatitis B, ada tiga dos suntikan, (yang mana dos kedua dan ketiga adalah dos penggalak). Sementara itu suntikan dos penggalak anti-Tetanus, sepatutnya diberikan sekali dalam tempoh setiap 10 tahun. Suntikan vaksin pneumokokal yang memberi perlindungan daripada pneumonia disarankan sekali setiap lima tahun.

“Pemberian penggalak bukannya untuk Covid-19 sahaja. Macam dos penggalak influenza. Walaupun kita disarankan untuk mendapatkan dos penggalak influenza setiap tahun, namun tidak ramai melakukannya,” katanya.

Keperluan mendapatkan dos penggalak menjadi mendesak kerana majoriti daripada daripada kita, mendapat suntikan vaksin Sinovac sebagai vaksinasi utama pada fasa awal.

Statistik Real-World Evaluation of Covid-19 Vaccines di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (RECoVaM) menunjukkan perlindungan vaksin Sinovac terhadap jangkitan Covid-19 menurun daripada 76 peratus dalam dua bulan pertama selepas vaksinasi lengkap kepada cuma 28 peratus dalam bulan ketiga hingga kelima.

Dr. Koh berkata, kajian antarabangsa turut membenarkan dapatan itu iaitu pada bulan ketiga, tahap peneutralan antibodi dalam vaksin Sinovac, kurang daripada 50 peratus, manakala pada bulan keenam, ia hampir tidak dapat dikesan.

“Bagi vaksin Pfizer dan AstraZeneca, keberkesanannya mula menunjukkan penurunan pada bulan keenam. Oleh itu, penting mendapatkan dos penggalak yang secara asasnya membangkitkan semula sistem imuniti badan kita untuk menghasilkan antibodi,” katanya.

Begitupun katanya, suntikan dos penggalak bukanlah pengakhiran, sebaliknya akan ada dos penggalak lain dan seterusnya.

“Kita tidak tahu banyak mana tetapi yang pasti ini bukanlah yang terakhir,” katanya.

-Agenda Daily

0 comments:

Catat Ulasan