Khamis, 13 Januari 2022

Hakim Syarie akan saman Lokman Adam berhubung tuduhan gangguan seksual

 

Datuk Lokman Noor Adam.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam bakal disaman Ketua Hakim Syarie susulan tuduhannya berhubung penglibatan dalam gangguan seksual terhadap wanita pada Ogos tahun lalu.

Hakim tersebut, Datuk Mohd. Na’im Mokhtar sudah membuat laporan polis terhadap tuduhan dibuat Lokman yang dibuat menerusi satu video yang dimuat naik dalam akaun media sosialnya.

Menurut Na’im, terdapat konspirasi oleh beberapa individu dalam Jabatan Kehakiman Syariah untuk menjatuhkannya.

Beliau turut menafikan dakwaan wanita itu selain menggesa pihak polis menyiasat wanita yang didakwa membuat laporan polis palsu dipercayai didalangi beberapa individu yang mahukan jawatannya.

“Saya telah memberikan kerjasama kepada polis dalam siasatan mereka, dan menyerahkan nama individu yang masih berkhidmat di jabatan di bawah arahan saya,” katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, tuduhan Lokman terhadapnya adalah berniat jahat malah mencemarkan imej dan integritinya.

“Sepatutnya Lokman mendapatkan cerita daripada kedua-dua pihak dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Malangnya, dia membuat tindakan melulu dengan membuat dakwaan serius terhadap saya sedangkan semua yang dia katakan itu adalah tidak benar,” jelas beliau.

Sementara itu, peguam Na’im, Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan, pihaknya akan menghantar surat tuntutan kepada Lokman esok.

“Anak guam saya akan saman Lokman Adam kerana memfitnah.

“Surat saman akan dikeluarkan kepada Lokman oleh firma guaman saya esok,” katanya.

-Agenda Daily

0 comments:

Catat Ulasan