Jumaat, 21 Januari 2022

Dituduh syirik, Nora Danish enggan burukkan keadaan

 

NORA DANISH

PETALING JAYA – Gara-gara memuat naik sedutan babak lakonan sebuah projek drama memaparkan majlis perkahwinan kaum India, pelakon Nora Danish dituduh syirik dan diminta segera bertaubat.

Menerusi video yang dikongsi dalam Instagram, Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd. Danish Hani, 39, dilihat menyertai majlis perkahwinan yang menyaksikan pasangan pengantin mengelilingi ‘api suci’.

Tampil jelita menggayakan pakaian tradisional masyarakat India iaitu legha, bagaimanapun, tidak semua dalam kalangan netizen bersetuju dengan tindakannya itu walaupun sekadar lakonan.

Video dimuat naik yang berlatarbelakangkan patung-patung di kuil juga menyebabkan netizen melemparkan kata-kata kurang enak.

“Janganlah engkau mempersekutukan Allah baik sengaja ataupun tidak kerana itu jalan menuju kemusyrikan yang nyata,” pesan seorang netizen dalam ruangan komen Instagram perkongsian video yang dimuat naik Nora.

Seorang netizen lain meninggalkan komen: “Demi duit, demi populariti sanggup apa sahaja. Tengoklah artis Hollywood sanggup buka baju, sanggup bersetubuh untuk dirakam tayang seluruh dunia demi berlakon filem.”

Biarpun ramai ringan mulut menyifatkan tindakannya sebagai syirik, ada dalam peminat memuji semangat muhibah pelakon yang cukup dikenali menerusi sitkom Puteri itu.

“Meriahnya. Hidup pelbagai kaum, saling menghormati agama serta adat resam masing-masing. Marilah berkasih sayang sesama manusia,” tulis seorang peminat.

Nora ketika dihubungi Kosmo! Online menerusi pesanan WhatsApp sebentar tadi bagaimanapun enggan mengulas lanjut situasi tersebut kerana bimbang hanya akan mengeruhkan keadaan.

“Lah, saya tak baca pula komen. Kena juga ke? Saya malas komen sebab nanti jadi lebih buruk,” balas ibu kepada dua orang cahaya mata itu ringkas. – K! ONLINE

0 comments:

Catat Ulasan