Ahad, 16 Januari 2022

Video: Polis siasat dakwaan minuman dicampur dadah dalam minuman ADUN - Ayob Khan

 

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar Terrence Naidu, kononnya minumannya dicampur dengan dadah sebelum ditahan dalam satu serbuan di Pulau Pinang, Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan akan dijalankan sepenuhnya, sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

"Kita sudah hantar sampel (urin) ke patologis untuk dapatkan laporan lengkap. Individu itu juga telah membuat laporan polis mendakwa ada yang telah memasukkan sesuatu dalam minuman. Itu pun kita akan siasat.

Sesiapa sahaja boleh membuat dakwaan atau membuat laporan polis. Kita akan siasat selengkapnya sebelum kertas siasatan disiapkan, dan dihantar ke DPP untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berkaitan kejayaan JSJN Bukit Aman merampas dadah bernilai RM111.2 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Ayob Khan berkata, siasatan juga dilakukan terhadap dua anggota polis, yang turut ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan karaoke pada Khamis lalu.

Semalam, Terence Naidu dalam satu kenyataan mendakwa dihidangkan minuman 'aneh' sebelum ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai, Pulau Pinang kelmarin, kerana disyaki positif dadah.

ADUN DAP itu berkata sebelum ditahan, beliau diundang bertemu kawan-kawan yang juga pelanggan untuk perjumpaan dan makan sempena Tahun Baharu Cina.

Ekoran insiden itu, katanya, sebaik sahaja dibebaskan, beliau membuat laporan polis menyatakan beliau terdedah kepada anasir yang mencurigakan. – BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan