Isnin, 24 Januari 2022

PRN Johor diadakan untuk desak Ismail Sabri bubar Parlimen: PH

 

Pakatan Harapan menolak tindakan membubar DUN bagi memberi laluan PRN Johor diadakan.

UMNO didakwa cuba memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya membubarkan Parlimen dengan mengambil langkah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) menyifatkan UMNO sengaja mengadakan PRN Johor bagi mendesak supaya Ismail Sabri tunduk dengan tuntutan kumpulan kluster mahkamah, ia walaupun menyedari rakyat ketika ini sedang berdepan kesempitan hidup.

Majlis Presiden PH berkata tindakan mengadakan PRN Johor sebagai tidak bertanggungjawab memandangkan rakyat terutama di Johor masih terbelenggu dengan isu ekonomi, wabak Covid-19 dan banjir.

Namun, PH tidak akan membiarkan UMNO menang mudah dan membuat ketetapan untuk bertanding PRN Johor.

“Isu-isu persiapan termasuk agihan kerusi, pelancaran jentera pilihan raya, penamaan calon Menteri Besar serta sebarang kerjasama atau persefahaman politik dengan parti-parti pembangkang yang lain akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.

Mereka juga meminta SPR memperbetul prosedur operasi standard (SOP) bagi kempen PRN kelak memandangkan jumlah kemasukan ke hospital ekoran Covid-19 stabil, selain jumlah penerima dos kedua yang tinggi, mencecah 80 peratus dan dos penggalak lebih 30 peratus.

Katanya, ini termasuk membolehkan aktiviti seperti ceramah serta kempen bersemuka diadakan dengan selamat sepanjang tempoh berkempen bagi PRN berkenaan.

“Membenarkan ceramah dan aktiviti kempen bersemuka seperti pemberian bahan cetak rumah ke rumah dibenarkan dengan pematuhan ketat SOP selain akses media diberi kepada semua parti secara adil dari segi ruangan masa dan ruangan cetak sama ada akhbar atau media dalam talian.

“SPR digerakkan dengan aktif untuk berada di kedutaan Malaysia di Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia serta negara-negara lain untuk memastikan undi pos dapat dilaksana dengan baik, selain tempoh kempen sekurang-kurangnya 21 hari,” katanya.

Majlis Presiden katanya bertekad merangkul seluruh kekuatan pembangkang dan masyarakat sivil dalam usaha memenangi PRN berkenaan.

“Bukan saja demi memenangi semula mandat rakyat yang sudah diperoleh pada Pilihan Raya Umum ke-14, tetapi dengan matlamat membentuk sebuah kerajaan negeri lebih stabil demi masa depan Johor yang lebih baik,” katanya.

DUN Johor dibubarkan secara rasmi semalam selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, sementara SPR dijadual mengadakan mesyuarat khasnya pada 9 Februari depan bagi menentukan tarikh-tarikh penting iaitu hari penamaan calon, hari mengundi awal serta hari mengundi biasa bagi PRN Johor.

-Agenda Daily

0 comments:

Catat Ulasan