Rabu, 26 Januari 2022

UMNO masih berimej parti rasuah perlu segera rehatkan Zahid, Najib

 

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad menasihatkan UMNO merehat atau menyingkirkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak.

UMNO tidak ada pilihan dan tidak boleh menunggu lebih lama lagi sebaliknya perlu segera merehatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak, bagi membuang imej parti itu yang terpalit dalam belenggu rasuah.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad malah berpendapat Zahid dan Najib sekarang ini menggunakan UMNO untuk membebaskan mereka daripada pertuduhan di mahkamah.

Menurutnya beliau pada awalnya memuji Najib kerana melepaskan jawatan Presiden UMNO – susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 – dan Zahid pula bercuti setelah dihadapkan ke mahkamah.

Namun, katanya setelah UMNO yang ketika itu dipimpin Datuk Seri Mohamad Hasan menang tiga pilihan raya kecil secara berterusan, Zahid kembali menerajui parti dan Najib pula diangkat sebagai penasihat.

“Saya melihat ini sebagai tanda UMNO tidak akan berubah. Apa yang berlaku semenjak itu hingga sekarang menunjuk ke arah itu.

“Najib dan Zahid nampak seperti mula menggunakan UMNO untuk membebaskan diri mereka daripada pertuduhan-pertuduhan terhadap mereka, manakala ahli-ahli MKT menurut perancangan mereka.

“Dalam keadaan itu saya tidak fikir UMNO akan berubah,” katanya dalam tulisan terbaharu hari ini.

Abdul Hamid turut mengingatkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRU15, ini adalah kali pertama pengundi berusia 18 tahun dan 21 tahun akan mengundi.

Beliau berkata perkataan ‘rasuah’, ‘penyalahgunaan kuasa’, dan ‘integriti’ menjadi faktor yang amat mempengaruhi golongan muda ketika ini, dan Pakatan Harapan (PH) akan menjadikannya senjata paling tajam terhadap UMNO.

Sekarang ini pun, katanya PH telah memulakan perang saraf dengan memperbesar-besarkan tuduhan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

“Bagi saya, inilah faktor utama yang, jika tidak ditangani dengan tegas, akan menyebabkan kekalahan UMNO/BN dan memungkinkan berulangnya pemerintahan PH.

“Maka, UMNO tidak ada pilihan. Ia mesti buang imej rasuah yang ada padanya. Ia mesti rehatkan pemimpin-pemimpinnya yang terlibat atau terpalit dengan rasuah. Najib dan Zahid mestilah berundur atau direhatkan.

“Diharapkan Majlis Tertinggi UMNO dan/atau Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang dijadualkan pada 16 hingga 19 Mac 2022 ini akan dapat menyelesaikan isu ini sebelum PRN Johor dan PRU 15. Menunggu Perhimpunan Agung UMNO 2022 mungkin terlalu lewat.

“Untuk pulih semula UMNO perlu membersihkan dirinya daripada pemimpin-pemimpin yang terlibat atau terpalit dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mereka hendaklah berundur atau disingkir. Terus terang saya telah menyebut nama Najib dan Zahid,” katanya.

-Agenda Daily

0 comments:

Catat Ulasan