Selasa, 25 Januari 2022

PRN Johor: Tuan Ibrahim dedah UMNO mahu bolot banyak kerusi, beri PAS 4 kerusi sahaja

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Rundingan pembahagian kerusi di Johor sebelum ini antara UMNO dengan PAS ketika menjadi pembangkang tidak berjaya, dedah Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim berkata semasa bersama dalam perbincangan Muafakat Nasional (MN), PAS hanya akan diberi empat kerusi di Johor sementara kebanyakkan kerusi lain dibolot UMNO dengan parti komponennya dalam Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, PAS dengan UMNO sebelum ini sudah berbincang berhubung pembahagian kerusi di Johor, ia dengan matlamat untuk menyekat Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.

“PAS menghormati pendirian UMNO (dan BN) untuk bergerak solo. Bagi PAS, kami sudah hulurkan salam muafakat dan penyatuan ummah.

 “Menawarkan empat dari 56 kerusi itu, saya fikir bukan cara baik,” katanya dipetik laporan Malaysiakini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad memaklumkan bahawa parti itu menawarkan empat kerusi boleh menang kepada PAS.

Namun, Hasni mendakwa PAS menolak tawaran diberi UMNO itu kerana Bersatu sebaliknya menawarkan 15 kerusi untuk PAS tandingi.

Menurut Tuan Ibrahim, PAS menuntut kerusi yang dimiliki pembangkang, khususnya Parti Amanah.

“Tawaran itu bagi memperkukuhkan muafakat dan penyatuan ummah. Ia bagi memastikan PH tidak kembali berkuasa di Johor,” katanya.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata Perikatan Nasional (PN) akan turun dengan segala kekuatan yang ada bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas UMNO membuat keputusan untuk bergerak solo.

“PAS akan adakan perbincangan dalam masa terdekat dengan semua parti dalam PN bagi menyusun strategi menghadapi PRN ini,” katanya.

Semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, PAS meletakkan calon di 40 kerusi namun hanya memenangi satu daripadanya.

-Agenda Daily

0 comments:

Catat Ulasan