Kuala Lumpur: Enam belas tahun lalu, Wan Nurul Melissa Wan Abdul Malek, 36, dan suami, Mohd Azman Zainal Abidin, 37, hanya mengimpikan untuk memiliki empat cahaya mata apabila mereka mendirikan rumah tangga.
"Kini, selepas tempoh itu, kami dikurniakan 10 anak. Ada rancangan untuk menambah anak kepada 12 sebelum ini.
Bagaimanapun, kami putuskan untuk 'berehat' seketika selepas kehadiran anak kembar (anak keenam dan ketujuh)," kata Wan Nurul Melissa.
Sepuluh anak mereka ialah Muhammad Adib Naufal Mohd Azman, 15, Nur Athilah Aliyah, 12, Nur Alisya Sofia, 10, Muhammad Anas Firman, 9, Muhammad Adam, 7, Muhammad Rahman, 5, Muhammad Rahim, 5, Muhammad Aidan, 3, Nur Ainul Maisarah, 2, dan Muhammad Ammar, enam bulan.
Walaupun ramai, 10 wajah inilah yang cukup menggembirakan kehidupan harian pasangan itu.
Penat menjaga anak namun semua yang kami lakukan untuk mereka cukup menggembirakan selain memberi pengalaman baharu.
"Syukur kerana memang bukan mudah menjaga 10 anak namun Allah SWT sentiasa permudahkan semua urusan kami," katanya.
Menurut Wan Nurul Melissa, dia turut mendapatkan khidmat pembantu untuk menjaga anaknya, tetapi ia hanya untuk waktu siang sahaja.
"Malam pula, kami yang jaga kerana siang kami bekerja. Sama seperti kebanyakan kanak-kanak lain, anak kami juga sukar untuk tidur mengikut masa ditetapkan.
"Walaupun memenatkan, tapi kami bersyukur kerana mereka mudah diurus dan mendengar kata," katanya yang menjalankan perniagaan jamu, barangan buatan sendiri selain haiwan peliharaan bertempat di Bukit Beruntung, Rawang.
Mengimbau kenangan ketika awal perkahwinan, Wan Nurul Melissa berkata, dia tidak bekerja manakala suaminya pula bertugas sebagai penjaga stor di sebuah kilang.
Katanya, mereka berkahwin pada usia muda, tetapi tidak pernah sesekali menyesalinya.
"Apabila anak bertambah, saya mula membabitkan diri dalam perniagaan pada 2010.
"Bukan itu saja, rezeki kurniaan Allah SWT memang luas kerana perniagaan semakin maju setiap kali saya melahirkan anak. Kini, suami turut membantu perniagaan ini," katanya.
Wan Nurul Melissa yang berasal dari Taiping, Perak berkata, dia tidak berasa janggal memiliki anak ramai kerana dia sendiri memiliki sembilan adik-beradik.
Suaminya yang berasal dari Sungkai, Perak pula memiliki empat adik-beradik, malah mempunyai kembar.
"Saya sudah biasa berada dalam kalangan adik-beradik yang ramai kerana itu, insya-Allah, pengalaman itu juga membantu saya menjaga anak ketika ini," katanya.
Menurutnya, kesibukan melayan anak di rumah juga terbawa-bawa ketika mereka sekeluarga keluar beriadah atau berjalan-jalan.
Kata Wan Nurul Melissa, bukan itu saja, malah ada juga yang bertanyakan tentang anaknya.
"Bawa anak ramai ini berjalan-jalan memang bukan mudah. Ada yang bertanya sama ada mereka ini 'anak buah' saya.
"Apabila dimaklumkan yang semuanya anak saya, ramai yang terkejut. Saya terangkan semuanya dan barulah mereka faham.
"Saya juga tidak kisah kerana sudah biasa dengan pertanyaan berkenaan," katanya.
Membeli pakaian raya juga bukan masalah buat Wan Nurul Melissa kerana dia ada berniaga pakaian kanak-kanak dan sedia maklum dengan pelbagai saiz pakaian bayi hingga kepada kanak-kanak.
"Saya tidak perlu bawa anak ketika keluar ke pasar raya untuk mengukur saiz kerana semua saiz 10 anak 'ada dalam kepala'," katanya.
Ketika ini, menurut Wan Nurul Melissa, anak sulung serta anak keduanya turut membantunya menjaga adik mereka.
"Mereka sudah faham dengan situasi memiliki adik-beradik ramai dan kerana itu, mereka turut membantu menjaga adik.
"Saya dan suami juga saling membantu menjaga serta memberi tunjuk ajar buat anak kami ini," katanya.
Ditanya berkaitan apakah dia dan suami akan menambah zuriat, katanya, mereka memang memilih untuk berehat seketika.
"Bagaimanapun, jika ada rezeki, kami tidak tolak kerana itu semua rezeki daripada Allah SWT.
"Kami memang sukakan kanak-kanak dan walaupun 'bising', ia tetap menyeronokkan," katanya.
-myMetro
0 comments:
Catat Ulasan