PETALING JAYA: Kelantan mengakui wujud aktiviti pembalakan dan penerokaan haram di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri itu, namun mendakwa ia tidak serius berbanding negeri lain.
Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ia berlaku ketika ada penduduk kampung yang mahu membuka kebun baharu, menanam durian dan kelapa sawit.
“Dari segi undang-undang memang salah menceroboh hutan simpan dan kita tidak akan bertolak ansur bila ada kesalahan, kita akan ambil tindakan,” katanya menurut laporan Berita Harian selepas menghadiri mesyuarat Exco negeri itu di Kota Darulnaim di Kota Bharu.
Media sebelum ini melaporkan, terdapat sindiket meneroka HSK secara haram dengan menanam kelapa sawit sebelum menjual tanah berkenaan pada harga rendah kepada orang ramai.
Ia adalah antara taktik terbaru dilakukan sindiket pencerobohan HSK yang dikesan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK).
Sementara itu, ketika ditanya berhubung dakwaan pembalakan haram adalah punca yang menyebabkan harimau masuk ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Amar berkata, tanggapan itu tidak betul.
“Harimau masuk kampung bukan kerana penebangan hutan. Kita ada baca kenyataan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan yang menyebut harimau masuk kampung sebab harimau kena penyakit.
“Keadaan ini menyebabkan harimau merayau dalam kampung kerana tidak boleh mencari makanan seperti biasa. Kalau kita hendak salahkan penebangan balak, itu tidak betul.
“Banjir sikit pun nak salahkan penebangan balak. Benda itu bukan begitu,” katanya sambil menambah PERHILITAN kini sedang memburu dua harimau itu.
Amar menasihatkan Orang Asli di kawasan terbabit tidak keluar rumah dan bantuan akan turut disalurkan kepada penduduk terbabit.
Setakat ini katanya, tiada perancangan untuk memindahkan penduduk terbabit kerana mereka lebih selesa di petempatan itu berbanding lokasi baharu.-FMT
0 comments:
Catat Ulasan