PETALING JAYA: Bekas ahli Parlimen PKR, Rafizi Ramli menyifatkan usaha membawa masuk pemimpin ‘katak’ Melaka bukan sahaja tidak cerdik malah mengulangi sejarah permohonan Parti Bersatu Malaysia Malaysia (Bersatu) ke dalam Pakatan Harapan (PH) pada 2016.
Menurut Rafizi, hujah sama digunakan pemimpin PH lain yang konon mendakwa langkah membawa masuk bekas-bekas pemimpin UMNO dan Bersatu boleh membantu melonjakkan kemenangan dalam Pilihan Raya Negara (PRN) Melaka.
Beliau kemudian menceritakan perihal strategik penyertaan Bersatu sebagai komponen PH lima tahun lalu bukan sahaja kacau-bilau malah ‘ke laut’ apabila akhirnya mereka sendiri mencetuskan budaya ‘katak’ memandangkan pimpinan Amanah dan DAP berkeras mahukan parti itu walaupun perkara tersebut ditentang keras beliau dan pemimpin PKR lain.
“Semasa rundingan permohonan Bersatu nak masuk PH dulu pada 2016, saya dan sahabat-sahabat mewakili PKR dalam Majlis Presiden berkeras dengan parti itu hanya diterima sebagai sekutu pilihan raya, bukannya anggota PH supaya keputusan PH tidak kacau-bilau.
“Yang berkeras mahukan Bersatu sebagai anggota PH adalah pimpinan Amanah dan DAP dengan alasan PKR tidak kuat dan berpecah. Perangai Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dijadikan alasan PH perlukan pimpinan baharu daripada Bersatu kerana kononnya kami tidak kuat untuk mendisiplinkan Azmin yang mahu bersama-sama Pas.
“Pada satu ketika kata dua diberikan kalau PKR tetap berkeras, wajarlah PKR tidak lagi bersama PH kerana AMANAH dan DAP sudah buat keputusan menerima Bersatu. Demi mengekalkan PH, kami terpaksa bersetuju dengan syarat ada perjanjian ketat,” kata Rafizi dalam Facebook beliau hari ini.
Rafizi kemudian menganggap perjanjian itu sebagai kacau-bilau apabila strategik ‘ke laut’ itu mencetuskan sikap lompat-melompat seperti mana berlaku di dalam Bersatu.
“Itulah latar belakang kacau-bilau. Perjanjian ke laut, strategi lonjakan yang dibawa Bersatu juga ‘ke laut’ sebab Bersatu melonjak katak,” jelas beliau.
Selain itu, kata Rafizi, alasan sama digunakan pemimpin Amanah kononnya membawa bekas pemimpin UMNO dan Bersatu termasuk Datuk Seri Idris Haron boleh membantu kemenangan kepada PH dalam PRN Melaka.
Jelas beliau, pemimpin Amanah seperti presidennya, Mohamad Sabu dan pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari seharusnya bertanggungjawab terhadap hujah mereka bagi membawa dua-tiga bekas pemimpin UMNO dan Bersatu Melaka memandangkan menjadi mangsa serangan bertalu-talu oleh penyokong PH adalah PKR.
“Sekarang alasan sama digunakan pimpinan Amanah, konon Idris dan lain-lain akan bawa lonjakan di Melaka. Masalahnya mereka berkokok di dalam mesyuarat PH kerana dalam PH, parti besar mana pun bila menjadi anggota ada undi yang sama.
“Di luar mereka senyap kerana sudah jadi amalan yang akan kena hentam PKR yang selalu kena jawab di luar. Sudah sampai masanya Presiden Amanah dan Pengerusi Amanah Melaka pula cuba meyakinkan pendokong PH di luar ini setakat mana kemasukan ‘katak-katak’ politik akan memberi lonjakan yang boleh memenangkan PH di Melaka.
“Ini hujah kuat berdegar-degar dalam mesyuarat PH tapi tidak cukup berdegar-degar di luar. Kalau saya, kena sekali cukuplah. Sampai mati saya takkan lupa pengajaran itu sebab kalau kena dua tiga kali atas kesilapan sama, namanya kurang cerdik,” tegas Rafizi.- UTUSAN
0 comments:
Catat Ulasan