Selasa, 2 November 2021

Amanah ‘terdesak’ mahu Idris untuk raih undi Melayu, kata penganalisis

 

Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Naib Presidennya, Adly Zahari berminat untuk bekerjasama dengan Idris Haron tetapi langkah itu mungkin memakan diri, kata penganalisis Awang Azman Pawi.

PETALING JAYA: Amanah mahu “memikat” bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron dan dua lagi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana parti itu “terdesak” untuk memperbaiki kedudukannya dalam kalangan pengundi Melayu, menurut seorang penganalisis politik.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Amanah kini bergantung kepada penyokong PKR dan DAP di Melaka, manakala Idris dilihat mendapat sokongan yang baik daripada pengundi Melayu.

Bagaimanapun, parti serpihan PAS tu tidak sepatutnya terlalu tergesa-gesa merekrut Idris ke dalam Pakatan Harapan (PH), katanya.

“Amanah lupa bahawa asas sokongan Idris bergantung kepada ahli Umno. Apabila Idris dipecat daripada Umno, ahli-ahlinya secara automatik akan berhenti menyokongnya,” kata Awang Azman kepada FMT.

“Malah tanpa lambang Barisan Nasional (BN), Idris juga tidak dapat menjamin kemenangan di kawasannya sendiri,” katanya.

Semalam, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Naib Presidennya Adly Zahari adalah antara pemimpin PH yang mahu menerima tiga daripada empat ADUN yang mencetuskan pilihan raya negeri (PRN) awal dengan tindakan mereka menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri.

Selain Idris, ADUN lain yang terbabit adalah Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), yang juga bekas ahli Umno dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) daripada Bersatu, manakala bekas ahli DAP Norhizam Hassan Baktee telah dihalang daripada menyertai PH oleh parti lamanya.

FMT telah menghubungi Mohamad dan Adly bagi mendapatkan komen.

Rafizi mendakwa dua pemimpin Amanah itu lantang dalam mesyuarat PH tetapi membisu di khalayak ramai, sambil menambah, sudah menjadi kelaziman PKR pula yang menerima kecaman.

Awang Azman Pawi.

Awang Azman berkata, pendedahan ini menunjukkan bahawa Amanah “terdesak untuk mendapatkan undi Melayu” sehingga sanggup mengorbankan nasib jangka panjang PH demi keuntungan jangka pendeknya sendiri.

“Jika mereka bertiga mampu mengkhianati parti lama (PAS), tiada apa yang menghalang mereka daripada mengkhianati PH kerana PH hanyalah batu loncatan untuk mereka terus memegang kuasa,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa langkah menerima tiga ADUN Melaka itu ke dalam PH akan menjejaskan reputasinya, malah menyebabkan kumpulan reformis dalam gabungan itu meragui perjuangannya.

Generasi muda juga boleh berpaling tadah dan memilih alternatif lain seperti MUDA atau Parti Kuasa Rakyat, katanya.

Seorang lagi ahli politik yang mengkritik cadangan menerima tiga ADUN Melaka itu adalah Ramkarpal Singh daripada DAP, yang turut membangkitkan usul undang-undang antilompat parti dalam memorandum persefahamannya (MoU) dengan kerajaan.

‘Terperangkap’ dengan Anwar

James Chin.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, bagi PH sekarang, ia bukan lagi soal etika, tetapi semata-mata mahu memastikan kemenangan dalam PRN Melaka.

Katanya, segelintir mungkin marah jika PH menerima “katak-katak” itu, terutamanya golongan pertengahan ke atas, tetapi kebanyakan rakyat akan lebih bimbang sama ada kerajaan boleh menjalankan tugasnya.

Chin juga mengakui, mungkin wujud rasa tidak puas hati terhadap Anwar dalam gabungan itu jika beliau menerima ketiga-tiga ADUN terbabit, terutamanya dalam kalangan mereka yang menyokong Presiden Warisan Shafie Apdal untuk menjadi Perdana Menteri.

“Sekarang apabila mereka sedar bahawa Shafie mungkin bukan jenis pemimpin yang dicari, mereka kembali kepada kem Anwar. Jika Anwar menerima ketiga-tiga (ADUN) ini, sudah tentu mereka akan berasa sangat tidak senang.

“Anda boleh tidak berpuas hati dengan Anwar dan menentangnya, tetapi masalahnya ialah tiada orang lain yang boleh mengambil alih kepimpinan, jadi dalam apa cara sekalipun, mereka masih ‘terperangkap’ dengan Anwar,” katanya.-FMT

0 comments:

Catat Ulasan