Jumaat, 2 Ogos 2024

Pearly-Thinaah lakar sejarah ke separuh akhir Olimpik Paris 2024

 PEARLY (kiri) dan Thinaah meraikan kejayaan mara ke separuh akhir beregu wanita di Paris 2024, hari ini. FOTO AFP

PEARLY (kiri) dan Thinaah meraikan kejayaan mara ke separuh akhir beregu wanita di Paris 2024, hari ini. FOTO AFP

Kuala Lumpur: Pearly Tan-M Thinaah mencipta sejarah pada penampilan pertama mereka di pentas Sukan Olimpik Paris 2024 apabila menjadi beregu wanita pertama negara yang melangkah ke separuh akhir.

Ringkasan Berita
  • Pearly Tan-M Thinaah menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong 21-12, 21-13.
  • Mereka menjadi beregu wanita pertama negara yang melangkah ke separuh akhir Sukan Olimpik.
  • Pearly-Thinaah akan bertemu pasangan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan di separuh akhir.
  • Pearly-Thinaah melakar kemenangan penuh bergaya dengan permainan konsisten bermula dari set pertama untuk menjinakkan pasangan Korea Selatan yang juga pemenang pingat gangsa edisi lalu, Kim So Yeong-Kong Hee Yong 21-12, 21-13.

    Kombinasi baik dalam pengawalan gelanggang dipamerkan beregu negara itu yang mendapat sokongan padu daripada penonton membanjiri venue pertandingan Porte de la Chapelle.

    Tampil penuh bersemangat dengan pengawalan kemas apabila tidak memberi ruang kosong kepada lawan, menyaksikan Pearly-Thinaah meninggalkan lawan dengan jarak cukup selesa 7-1 di set pertama dan mendahului 10 mata di hadapan ketika di kedudukan 19-9 sebelum menamatkan perlawanan 21-12 di set pertama.

    Bermula di set kedua, pasangan Korea mula memberi tentangan untuk cuba membawa aksi di set penentuan apabila saling bekerja mata demi mata sehingga berjaya mengikat mata di kedudukan 8-8.

    Namun langkah Pearly-Thinaah mula konsisten selepas itu apabila menjarakkan kedudukan.

    Keadaan sedikit menggusarkan apabila ketika di kedudukan 13-12 apabila Pearly meminta sokongan perubatan apabila mengalami ketegangan di bahagian paha.

    Mujur ia bukan kecederaan serius apabila keghairahan mereka untuk menamatkan perlawanan dengan noktah kemenangan terlerai apabila menang set kedua 21-13.

    Kini mereka sudah membuktikan tiada apa yang mustahil dilakukan di pentas Olimpik apabila berjaya melepasi halangan 'kumpulan maut'.

    Menanti mereka di separuh akhir adalah pasangan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.

    Inilah peluang untuk mereka membalas dendam selepas tewas kepada lawan yang sama ketika aksi pembukaan Kumpulan A.

    Terdahulu aksi terbaik beregu wanita negara hanyalah mara ke suku akhir di Rio 2016 menerusi Vivian Hoo-Woon Khe Wei.

    Bagaimanapun, Vivian-Khe Wei ketika itu gagal ke separuh akhir apabila tewas di tangan pasangan Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi.

    -myMetro 

    0 comments:

    Catat Ulasan