Khamis, 15 Ogos 2024

Komik Hew: Akmal bidas Teresa kerana dakwa tak hormat keputusan mahkamah

 malaysiakini.com

Diterbitkan: Aug 15, 2024 
Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh membidas Naib Pengerusi DAP Teresa Kok berhubung isu mengenai buku komik “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama”.

Pengharaman buku oleh bekas ahli DAP Hew Kuan Yau itu ditarik balik baru-baru ini. Kok menuduh mereka yang menentang langkah itu sebagai tidak menghormati keputusan mahkamah.

Dalam satu kenyataan, Akmal menegaskan bahawa kritikannya tidak bermakna dia tidak menghormati keputusan mahkamah berhubung perkara itu.

"Siapa kata kami tidak menghormati keputusan mahkamah Tetapi menghormati keputusan mahkamah tidak bermakna kami bersetuju dengan keputusan tersebut.

"Sebab itu kita minta kerajaan untuk memohon semula semakan keputusan mahkamah tersebut selaras dengan kuasa sedia ada Mahkamah Persekutuan di bawah kaedah-kaedah mahkamah persekutuan 1995, kerana isu ini begitu sensitif dikalangan orang Melayu di negara ini,” tulis Akmal di Facebook.

Adun Merlimau itu mengulas kenyataan Kok yang menyifatkan kecamannya dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi mengenai penarikan balik pengharaman itu sebagai menghina mahkamah dan cubaan menyekat kebebasan bersuara.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata kedua-dua pemimpin Umno itu harus menghormati kebebasan badan kehakiman dan keputusannya, dan bukannya meminta kerajaan untuk menentang perintah mahkamah dan cuba kembali kepada kerajaan yang autoritarian.

Semalam, Puad menggesa kerajaan mencari jalan untuk meneruskan pengharaman buku itu, manakala Akmal mencadangkan semakan kehakiman difailkan terhadap keputusan yang membatalkan pengharaman itu.

Pembatalan pengharaman itu disiarkan dalam warta kerajaan persekutuan pada Isnin, yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada 6 Ogos di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Kementerian Dalam Negeri mengumumkan ia mengharamkan buku itu pada 23 Okt 2019. Pada 26 April 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Hew untuk membatalkan larangan itu.

Pada 6 Julai 2022, Mahkamah Rayuan membenarkan semakan oleh Hew untuk membatalkan larangan itu. Kemudian pada 8 Dis 2022, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan oleh Kementerian Dalam Negeri, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini berkata pengharaman itu kerana kebimbangan bahawa ia menggalakkan komunisme dan sosialisme, dan menyebarkan maklumat mengelirukan tentang komunisme.

Buku itu, yang dikeluarkan untuk memperingati ulang tahun ke-45 penubuhan hubungan diplomatik antara China dan Malaysia.

Buku itu juga diharamkan kerana kandungannya dianggap memudaratkan ketenteraman awam.

-Wak Labu Farm 

0 comments:

Catat Ulasan