Jumaat, 2 Ogos 2024

Olimpik Paris 2024:Mimpi emas berkecai

 WOOI Yik (kiri) dan Aaron terpaksa akur dengan kehebatan Wei Keng-Wang Chang. FOTO Bernama

WOOI Yik (kiri) dan Aaron terpaksa akur dengan kehebatan Wei Keng-Wang Chang. FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Harapan menyaksikan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menukar warna pingat tiga tahun lalu tidak kesampaian apabila terkandas di peringkat separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 selepas tewas kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena, Aaron-Wooi Yik terpaksa akur apabila kalah dalam pertarungan tiga set 19-21, 21-15, 17-21 dalam tempoh 72 minit.

Pasangan bekas juara dunia itu bermula sedikit goyah namun memberi tentangan sebelum tewas 19-21 pada set pertama.

Memasuki set kedua Aaron-Wooi Yik bermula garang dengan permainan agresif dipamerkan apabila mendahului 11-8.

Keyakinan Aaron-Wooi Yik semakin menyerlah apabila mendahului 19-14 sebelum menang 21-15 dalam tempoh 22 minit untuk membawa perlawanan ke set penentuan.

Perlawanan di set ketiga semakin tegang dan mendebarkan apabila beregu China mula memberi tekanan dengan mengekori rapat mata demi mata untuk mengikat kedudukan sembilan sama dan akhirnya menang 21-17.

Kekalahan itu menyaksikan Aaron-Soh Wooi Yik akan turun pada penentuan pingat gangsa.

Kali terakhir gandingan negara mara ke final pentas Olimpik adalah menerusi Goh V Shem-Tan Wee Kiong di Rio 2016 yang menyaksikan mereka membawa pulang perak.

-myMetro 

0 comments:

Catat Ulasan