Rabu, 14 Ogos 2024

'Hormati keputusan mahkamah, bukan cuba kembali kepada pemikiran autoritarian' - Teresa Kok kepada Puad Zarkashi, Akmal Saleh

 bharian.com.my

Oleh Essa Abu Yamin
essabuyamin@bh.com.my
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok (tengah), ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi (kanan) dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO digesa menghormati keputusan mahkamah dengan tidak memainkan isu mengenai buku komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Merah Manfaat Bersama' yang ditulis oleh bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai Superman Hew.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok, menyifatkan kenyataan ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, yang meminta kerajaan menyekat semula komik itu menunjukkan mereka tidak menghormati keputusan mahkamah dan menyekat kebebasan bersuara.

"Semua pihak perlu melupakan prejudis lalu dan terus melihat ke hadapan. Buat masa ini, misi utama adalah berkenaan kepentingan rakyat, serta memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi.

"Mahkamah telah mengeluarkan penghakiman penuh yang jelas menyatakan bahawa buku terbabit tidak mengandungi kandungan hasutan seperti yang didakwa dalam akuan bersumpah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Teresa berkata, hakim juga berpendapat bahawa ketidakpuasan hati seseorang atau kumpulan tidak boleh menyekat kebebasan bersuara seseorang.

"Walaupun Menteri Dalam Negeri tidak bersetuju dengan kandungan buku tersebut, termasuk tafsiran Hew Kuan Yau terhadap sejarah, pandangan dunianya, serta pandangannya mengenai isu semasa, terutama komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Merah Manfaat Bersama' China dan isu Xinjiang. Itu tidak cukup untuk menjadikannya sebagai buku terlarang.

"Pada Julai 2022, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa buku terbabit tidak sepatutnya diklasifikasikan sebagai buku terlarang, manakala pada Disember 2022, Mahkamah Persekutuan juga menolak permohonan rayuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan mengarahkan Hew Kuan Yau untuk memohon pampasan daripada kerajaan," katanya.

Teresa berkata, apabila Kementerian Dalam Negeri menghormati dan melaksanakan keputusan mahkamah, ia secara tidak langsung mempertahankan hak asasi rakyat Malaysia, terutamanya hak kebebasan bersuara dan penerbitan.

"Keputusan ini mencerminkan pendirian tegas badan kehakiman negara terhadap kebebasan bersuara dan penerbitan.

"Mohd Puad dan Akmal Saleh harus menghormati kebebasan kehakiman dan keputusan mahkamah, bukannya terus menyeru kerajaan melanggar perintah mahkamah, dan cuba untuk kembali kepada pemikiran kerajaan autoritarian," katanya.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, mereka harus meninggalkan cara pemikiran lama yang penuh dengan perpecahan dan ketakutan dan memandang sejarah dari sudut yang lebih terbuka dan rasional.

"Pembangunan negara perlu dibina atas asas inklusiviti, keterbukaan, dan kedaulatan undang-undang. Ia adalah untuk memastikan Malaysia bergerak ke arah demokrasi dan keterbukaan, bukannya dengan menindas pendapat berbeza untuk mengekalkan kuasa," katanya.

Semalam, KDN membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berjudul 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bertarikh 6 Ogos lalu.

-Wak Labu Farm 

0 comments:

Catat Ulasan