Hari ini 76 tahun yang lalu, Fanny Blankers-Koen memenangi emas Olimpik acara 4x100m ketika hamil anak ke-3.
Francina Elsje Koen lahir pada 26 April 1918 di Utrecht, Netherlands. Beliau mula bertanding dalam acara trek pada usia 17 tahun & melayakkan diri ke temasya Olimpik Berlin 1936 pada tahun berikutnya.
Pada 1940 beliau mengahwini jurulatihnya Jan Blankers & kariernya mula melonjak. Walaupun Olimpik tahun itu & edisi seterusnya terpaksa dibatalkan ekoran Perang Dunia II, Blankers-Koen masih melayakkan diri ke temasya seterusnya pada 1948.
Beliau terpaksa meninggalkan 2 anaknya untuk ke Olimpik London & hanya berlatih 2 kali seminggu kerana sedang hamil 3 bulan anak ke-3. Kerana itu & usianya yang sudah mencecah 30 tahun, ramai merasakan beliau tak sepatutnya bertanding.
Blankers-Koen membuktikan bahawa mereka silap, bermula dengan merangkul emas pertama acara 100m seterusnya emas acara 80m berpagar, di mana beliau memahat rekod baharu Olimpik untuk kedua-dua acara tersebut.
Namun ketika peringkat saringan acara 200m, semangatnya hilang, ingin menarik diri & pulang ketika media British menerbitkan laporan berbaur seksis tentangnya. Selepas dipujuk suaminya, Blankers-Koen kembali meneruskan cabaran.
Beliau memenangi emas & memecahkan rekod Olimpik ketiganya dalam acara itu dengan jarak 0.7 saat dari pelari tempat ke-2, melakar sejarah marjin kemenangan terbesar yang masih tak dapat ditandingi sehingga hari ini.
Dalam acara terakhirnya 4x100m pada 7 Ogos 1948, Blankers-Koen menimbulkan panik kepada pasukannya bila beliau 'hilang'. Rupanya beliau pergi membeli baju hujan & sempat tiba ke stadium tak lama sebelum final acara itu dimulakan.
Ketika mendapat baton dari pelari ke-3, pasukan Netherlands berada di kedudukan ke-4. Namun Blankers-Koen memecut & memintas 3 pelari di hadapannya untuk memenangi emas buat pasukannya juga yang ke-4 buat dirinya.
Blankers-Koen menjadi yang pertama, juga satu-satunya atlet trek wanita yang merangkul 4 emas dalam satu temasya Olimpik. Digelar ‘The Flying Housewife’, beliau dianggap antara Olimpian terunggul sepanjang zaman.
Sumber: Smithsonian Magazine, Olympics
#PeristiwaHariIni
Pelik Tak SemestiNya Tak Benar
0 comments:
Catat Ulasan