Sabtu, 3 Ogos 2024

"Datuk Lee Chong Wei, Lagenda Badminton Malaysia!

 "Datuk Lee Chong Wei, Lagenda Badminton Malaysia!"

Oleh: Azizul Farhan

Bila cakap pasal Olimpik, mesti ramai teringat nama Lee Chong Wei. Beliau bukan setakat pemain badminton biasa, tapi seorang wira yang penuh semangat juang. 

Dari Beijing ke London sampai Rio, Chong Wei tak pernah kenal erti putus asa. Walaupun selalu dapat pingat perak, beliau tetap jadi idola ramai orang.

Bayangkan, setiap kali beliau masuk gelanggang, beliau bawa harapan satu Malaysia. Semua orang doa dan harap dia menang. 

Chong Wei lawan habis-habisan, tak kira lawannya Lin Dan ke, Chen Long ke, beliau tetap bagi yang terbaik. Kisah beliau di Olimpik bukan sekadar tentang pingat, tapi tentang semangat, usaha dan inspirasi untuk kita semua.

Anak jati Bagan Serai, Perak ini dilahirkan pada 21 Oktober 1982. Siapa sangka, minat awal Chong Wei sebenarnya adalah sukan bola keranjang. 

Namun, demi kesihatan dan kesejahteraan anaknya, ibunya melarang Chong Wei dari bermain bola keranjang yang dimainkan di bawah terik matahari. 

Pada usia 11 tahun, bapanya membawanya ke gelanggang badminton, satu keputusan yang akhirnya membuka lembaran baru dalam hidupnya.

Jurulatih Teh Peng Huat adalah individu pertama melihat potensi luar biasa dalam diri Chong Wei. Dengan latihan intensif selepas waktu persekolahan, Chong Wei diasuh menjadi pemain yang hebat. 

Namun, transformasi terbesar berlaku ketika legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek, mengambilnya di bawah bimbingan pada usia 17 tahun. 

Dedikasi, disiplin dan kesungguhan Chong Wei meletakkannya di puncak dunia badminton memegang status pemain nombor satu dunia untuk 349 minggu, satu rekod yang sukar ditandingi.

Salah satu sorotan terbesar dalam karier Chong Wei adalah pencapaian luar biasanya di pentas Sukan Olimpik. Pada temasya Olimpik Beijing 2008, London 2012, dan Rio de Janeiro 2016, Chong Wei mengharumkan nama Malaysia dengan meraih pingat perak sebanyak tiga kali berturut-turut. 

Walaupun tidak berjaya membawa pulang emas, pencapaiannya tetap luar biasa dan menjadikannya sebagai salah seorang atlet paling berjaya dalam sejarah negara.

Siapa juga yang tidak kenal dengan perseteruan epik antara Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan, jaguh badminton dari China. Pertarungan antara mereka selalu dinantikan peminat sukan seluruh dunia. 

Dalam 40 pertembungan, Lin Dan menang sebanyak 28 kali, namun setiap perlawanan menyajikan aksi yang mendebarkan. Detik paling dramatik adalah di Olimpik Rio 2016, di mana Chong Wei akhirnya menewaskan Lin Dan di peringkat separuh akhir, namun tewas kepada Chen Long di final. 

Harapan Malaysia untuk melihat emas Olimpik dalam genggaman Chong Wei musnah sekali lagi, tetapi kegigihannya tetap memberi inspirasi.

Tidak dinafikan, perjalanan karier Chong Wei bukan hanya dipenuhi dengan kegemilangan, tetapi juga kontroversi dan cabaran. 

Pada tahun 2015, beliau terpalit dengan isu doping yang menyebabkan beliau digantung selama lapan bulan. Namun, semangat juangnya tidak pernah luntur. 

Selepas kembali ke gelanggang, beliau terus memburu kejayaan demi kejayaan, membuktikan bahawa beliau adalah seorang pejuang sejati.

Pada 13 Jun 2019, seluruh negara terkejut apabila Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraannya. Diduga kanser hidung pada 2018, kesihatannya tidak lagi mengizinkan beliau untuk terus beraksi di tahap tertinggi. 

Namun, legasi yang ditinggalkannya tetap abadi. Dengan 69 gelaran kejohanan termasuk 46 kejuaraan Superseries BWF dan status sebagai pemain nombor satu dunia selama 349 minggu, Datuk Lee Chong Wei akan selalu diingati sebagai wira sukan negara.

Kini, legasi Datuk Lee Chong Wei terus memberi inspirasi kepada generasi muda. Ramai pemain muda seperti Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, dan Cheam June Wei yang menjadikan beliau sebagai idola. 

Kepada Datuk Lee Chong Wei, terima kasih atas segala jasa dan pengorbananmu. Anda bukan hanya seorang lagenda, tetapi juga sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia. 

Kisahmu akan terus diceritakan, dari satu generasi ke generasi seterusnya. Terima kasih, wira negara!

Credit 

___


Selain Lee Chong Wei, bagaimana tokoh-tokoh terkemuka di dunia capai kejayaan seperti hari ini? Korang boleh baca lagi kisah lain di dalam HIDDEN GENIUS dalam Bahasa Melayu! Dapatkan segera: https://shope.ee/6ANwVfKSpc

1 ulasan: