Selasa, 23 April 2024

TERKINI: Dua Pegawai Memerintah Skuadron Helikopter TLDM antara 10 korban tragedi

 Bangkai pesawat selepas terbabit dalam insiden dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), hari ini.

Bangkai pesawat selepas terbabit dalam insiden dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), hari ini.

KUALA LUMPUR: Dua Pegawai Memerintah Skuadron Helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah di antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas membabitkan dua helikopter pasukan itu di Lumut, Perak, hari ini.

Mereka yang terkorban adalah Pegawai Memerintah Skuadron 503 TLDM, Komander Muhammad Firdaus Ramli dan Pegawai Pemerintah Skuadron 502 TLDM, Komander Muhamad Amir Mohamad.

Komander Muhammad Firdaus Ramli (kiri) dan Pegawai Pemerintah Skuadron 502 TLDM, Komander Muhamad Amir Mohamad.

Komander Muhammad Firdaus Ramli (kiri) dan Pegawai Pemerintah Skuadron 502 TLDM, Komander Muhamad Amir Mohamad.

TLDM dalam kenyataannya, berkata dua pegawai berpangkat Leftenan Komander turut terkorban, iaitu Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin dan Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi.

"Selain itu, mangsa yang terkorban ialah Leftenan T Sivasutan; Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun dan Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

"Nahas mengorbankan tiga penumpang masing-masing Pegawai Waran II TNL, Noorfarahimi Mohd Saedy; Bintara Muda TNL, Noor Rahiza Anuar; Laskar Kelas I JJM, Joanna Felicia anak Rohna," katanya, hari ini.

Dalam pada itu, TLDM turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, selain memaklumkan pengurusan jenazah akan dilaksanakan dalam masa terdekat mengikut tradisi tentera laut.

Terdahulu, BH melaporkan nahas dua helikopter TLDM bertembung ketika raptai lintas hormat sempena Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM Ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada jam 9.03 pagi tadi.

Nahas itu mengorbankan 10 mangsa, masing-masing tujuh kru dan tiga penumpang dua helikopter jenis HOM-AW139 dan Fennec yang berlepas dari Padang Sitiawan, Perak.

Berdasarkan video yang tersebar, kedua-duanya dipercayai bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat yang dirancang berlangsung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut.

Susulan pertembungan berlaku, kedua-dua pesawat terbabit hilang kawalan sebelum terhempas.

Pesawat HOM-AW139 terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Rentetan kejadian itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, menyifatkan nahas terbabit sebagai insiden yang amat malang.


INFO:

Spesifikasi Helikopter Fennec (AS 555 SN)

Helikopter Fennec
Helikopter Fennec

Nama pasukan: Skuadron 502

Negara Pengeluar: Perancis

Syarikat pengeluar: Eurocopter

Panjang: 10.93 meter

Lebar: 2.28 meter

Kelajuan: 150 knots

Sesaran: 5.3 meter

Jumlah kru: 3 orang


Spesifikasi Helikopter AW139 (HOM)

503-HOM
503-HOM

Nama pasukan: Skuadron 503

Jenis: AW139

Negara pengeluar: Itali

Syarikat pengeluar: Leonardo Helicopter

Jumlah kru: Empat orang

Kelajuan maksimum: 167 knots

Kelajuan standard: 130 knots

Durasi penerbangan: Empat jam

Jarak: 550 batu nautika

-BH Online 

0 comments:

Catat Ulasan