Khamis, 25 April 2024

Sanusi bidas Fahmi: Masuk gelanggang PRK, takkan diam-diam

 

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membidas kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang meminta beliau untuk berdiam berbanding memberikan komen berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan tidak wajar mengeluarkan kenyataan seumpama itu dengan mengarahkan beliau untuk ‘menutup mulut’ sedangkan kempen PRK di Kuala Kubu Bharu akan bermula tidak lama lagi.

"Awat (kenapa) menteri gol dan gincu cakap macam itu? Takkan nak masuk (gelanggang) pilihan raya diam-diam. Kalau tuduh orang ada rumah RM7 juta, rupanya tuduhan itu tak betul, boleh la tutup mulut dok diam-diam... tu pun kalau ada rasa malu," kata Sanusi dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Rabu.

Sanusi dipercayai membuat hantaran tersebut bagi menjawab kenyataan Fahmi pada Selasa, yang meminta beliau mendiamkan diri daripada memberi sebarang komen mengenai masalah di negeri lain, sebaliknya fokus kepada negeri Jelapang Padi.

Fahmi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Sanusi sebelum itu yang mendakwa PN akan ‘pecahkan lagi’ keretakan dalam hubungan antara MCA dengan Pakatan Harapan (PH).

Sanusi dipetik berkata, keputusan MCA untuk tidak terlibat dalam sebarang kempen di DUN Kuala Kubu Baharu akan memberi kelebihan kepada gabungan PN untuk menang PRK berkenaan.

 "(Hubungan) mereka sudah retak, kita (PN ) akan pecahkan lagi menjadi belah. Itu kerja politik," kata Sanusi.

Sebaliknya Fahmi membalas kenyataan dengan meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu menyibukkan diri menyiapkan pelbagai projek yang diumumkan di Kedah termasuk pembangunan tambakan laut di Langkawi oleh Widad Group dan projek litar lumba di Sungai Petani.

Jumaat lepas, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA dilapor memutuskan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini, MIC turut membuat keputusan sama atas alasan serupa.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon sementara hari pengundian pada 11 Mei.

-SH Online 

0 comments:

Catat Ulasan