Sabtu, 13 April 2024

Peringatan buat Kedah: Kes FIFA, FIB berbeza

 Sheikh Mohd Nasir (kiri) ingatkan Kedah supaya selesaikan pembayaran gaji penuh ataupun persetujuan penyelesaian dengan pemain sebelum 20 April ini.

Sheikh Mohd Nasir (kiri) ingatkan Kedah supaya selesaikan pembayaran gaji penuh ataupun persetujuan penyelesaian dengan pemain sebelum 20 April ini.

KUALA LUMPUR: First Instance Body (FIB) mengesahkan Kedah Darul Aman (KDA) FC belum lagi 'selamat' meskipun tidak lagi berdepan sekatan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membabitkan pendaftaran pemain baharu bagi musim 2024/25.

Perkembangan itu dinyatakan Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif yang menjelaskan kes sekatan FIFA dan peraturan yang perlu dipatuhi KDA FC bagi hal pelesenan kelab yang membolehkan mereka beraksi di Liga Super adalah dua perkara berbeza.

Justeru, Sheikh Mohd Nasir mengharapkan pasukan itu dapat menyelesaikan melunaskan pembayaran gaji penuh ataupun mendapat persetujuan untuk penyelesaian dengan pemain dan pegawai sebelum 20 April ini.

"KDA FC jangan lupa bahawa mereka ada satu lagi isu yang perlu diselesaikan. Kes di FIFA dan kes FIB ini adalah berbeza kerana ini adalah peringkat kebangsaan membabitkan peraturan untuk pelesenan yang wujud di bawah Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Walaupun sekatan FIFA sudah ditarik tetapi tuntutan FIB kepada KDA FC masih lagi berjalan seperti yang sudahpun dinyatakan sebelum ini. Kita lihat KDA FC ada usaha menyelesaikan kes di FIFA jadi mungkin mereka tetap berusaha untuk selesaikan semua tunggakan ini.

"Mereka ada komitmen dan masih ada masa lagi sebelum 20 April ini. Kita pun takkan buat keputusan pada 20 April itu kerana ada beberapa hari diperlukan untuk menyemak dokumentasi dan kita akan rujuk kepada jawatankuasa.

"Semuanya kini bergantung di tangan KDA FC (untuk terus beraksi di Liga Super) jadi obligasi kepada mereka untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji ini," katanya.

Terdahulu, BH Sukan melaporkan status KDA FC untuk beraksi dalam Liga Super menjadi tanda tanya meskipun berjaya 'membebaskan' diri daripada sekatan pendaftaran pemain oleh FIFA.

Walaupun sudah bebas dari sekatan itu dan boleh mendaftarkan kira-kira 11 pemain baharu, masa depan pasukan itu untuk beraksi di Liga Super musim ini boleh diibaratkan 'bagai telur di hujung tanduk'.

Ini berikutan pasukan itu masih terikat dengan 'hutang' membabitkan penyelesaian penuh tunggakan gaji 2023 dan ketika ini, mereka sudahpun dikenakan pemotongan tiga mata bagi aksi Liga Super selain denda RM50,000.

Ini menyaksikan mereka 'bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga' apabila bukan sahaja 'berhutang' dan perlu membayar denda RM50,000 malah turut bakal memulakan kempen Liga Super musim ini dengan negatif tiga mata.

-BH Online 

0 comments:

Catat Ulasan