Ahad, 14 April 2024

Tembakan di KLIA:Polis minta saudara Hafizul... serah diri dengan aman'

 

Mohd Shuhaily dalam sidang akhbar di lokasi kejadian pada Ahad.
Mohd Shuhaily dalam sidang akhbar di lokasi kejadian pada Ahad.

SEPANG - Semua kontinjen negeri telah digerakkan untuk mengesan suspek kes tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Ahad.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memberi amaran kepada suspek, Hafizul Harawi, 38, supaya bekerjasama dan menyerahkan diri di mana-mana balai polis.

“Semua Ketua Jabatan Siasatan Jenayah kontinjen negeri terdekat dan bersempadan dengan negara jiran telah digerakkan bagi mengesan suspek.

“Jadi kepada saudara Hafizul saya sarankan datang ke mana-mana balai menyerah diri dengan aman, jangan kita ikut amarah kita, dia akan memburukkan lagi keadaan,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian pada Ahad.

Mohd Shuhaily berkata, kejadian yang berlaku pada pagi itu sudah pun terjadi dan dinasihat agar suspek terbabit tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Jelasnya, buat masa ini motif dikenal pasti berkait perihal peribadi antara suspek dan isterinya.

Tegasnya, kes ini mendapat perhatian Bukit Aman kerana ia berlaku di kawasan penting keselamatan pintu masuk negara.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan seorang pengawal peribadi parah terkena satu das tembakan, manakala isteri suspek yang menjadi sasaran utama terselamat dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi.

"Selepas kita tangkap suspek baru kita akan dapat motif sebenar.

"Dalam konteks ini polis mengenal pasti suspek sebagai bersenjata dan juga berbahaya dan orang awam yang melihat suspek ini agar dapat berkongsi maklumat dengan pihak polis dan jangan bertindak sendiri," ujarnya.

-Sinar Harian 

Artikel Berkaitan: Kes tembak KLIA: Pengawal peribadi ditembak terpaksa ditidurkan

0 comments:

Catat Ulasan