Ahad, 14 April 2024

Legasi Tok Daud Dan Tok Minah:‘Rupanya bintang sensasi Arif Aiman waris kami’

 Keluarga Tok Daud dan Tok Minah di Bachok mengadakan perjumpaan tujuh generasi demi mengeratkan silaturahim.

Lebih 500 ahli keluarga Tok Daud dan Tok Minah berkumpul selepas berbulan program itu dirancang.

BACHOK: Seorang pesara tidak menyangka majlis perjumpaan tujuh generasi mengumpulkan lebih 500 legasi Tok Daud dan Tok Minah baru-baru ini mendedahkan bintang sensasi Harimau Malaya Arif Aiman Hanapi berasal dari susur galur keluarganya.

Arif, 22, adalah penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pemain Paling Bernilai (MVP) tiga kali berturut-turut Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK).

Pemain bola sepak kebangsaan Arif Aiman Hanapi menyumbangkan cenderamata untuk keluarga besar itu.

“Rupanya Arif Aiman cucu-cicit keturunan Tok Daud dan Tok Minah,” kata Rosli Che Harun.

“Inilah salah satu sebab utama kita cari dan kenal susur galur keluarga. Untuk kenal siapa saudara kita.”

Rosli, 61, berkata walaupun Arif tidak hadir dalam majlis tersebut namun ia membolehkan waris mengetahui yang pemain bola sepak itu adalah “ahli keluarga besar” mereka.

“Walaupun tidak hadir tapi beliau (Arif) hadiahkan cenderamata untuk dibawa pulang iaitu sejadah,” katanya kepada FMT.

Perjumpaan keluarga dirancang sejak Oktober tahun lalu itu dihadiri sekurang-kurangnya 507 waris melibatkan 109 keluarga.

Sukaneka antara program diadakan bagi memeriahkan perjumpaan keluarga Tok Daud dan Tok Minah.
Rapat silaturahim

Mohd Yusof Mat.

Pengerusi Perjumpaan Legasi Tok Daud dan Tok Minah, Mohd Yusof Mat, 66, berkata penganjuran julung kali keluarga besar itu tidak mudah serta menuntut masa dan banyak tenaga.

Katanya, waris daripada keluarga itu masing-masing menetap di seluruh negara antaranya Johor Bahru, Arau dan Alor Setar.

“Tapi kita bangga sebab lebih 500 sanggup hadir walaupun jauh beratus batu. Sepupu saya lebih kurang 80 orang…anak sepupu beratus, hari ini semua boleh kenal. Silaturahim itu boleh kita rapatkan,” katanya.

Bekas kontraktor itu berkata, ahli jawatankuasa (AJK) penggerak menggunakan WhatsApp untuk berkomunikasi dan merangka perjumpaan sehingga ia berlangsung jayanya.

Mohd Hanapi Che Gas.

Sementara itu, bapa Arif yang juga penaung perjumpaan tujuh generasi tersebut, Mohd Hanapi Che Gas, 63, berkata terpanggil untuk menaja sejumlah dana bagi menjayakannya demi merapatkan hubungan sanak-saudara.

Katanya, jika perjumpaan seperti itu boleh diadakan selalu ia akan merapatkan hubungan kekeluargaan terutama generasi muda.

Bagi Mamie Suhana Mat Noor, 41, dia sendiri adalah generasi keempat dan berazam mahu mengenali lebih rapat keluarga besarnya.

“Tok Daud dan Tok Minah sudah tak ada (meninggal dunia) tapi anak cucunya masih ada. Kita berkumpul, bersua dan beramah mesra sambil berkongsi cerita,” kata guru yang turut menggerakkan perjumpaan itu.-FMT

0 comments:

Catat Ulasan