Sabtu, 27 April 2024

Saingan 4 penjuru di PRK Kuala Kubu Bharu

Empat calon yang akan bersaing pada PRK Kuala Kubu Bharu. (Dari kiri) Khairul Aizat (PN); Nyau Ke Xin (Bebas); Hafizah (PRM) dan Pang Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan dari DAP. - NSTP/ SAIFULLIZAN TAMADI

Empat calon yang akan bersaing pada PRK Kuala Kubu Bharu. (Dari kiri) Khairul Aizat (PN); Nyau Ke Xin (Bebas); Hafizah (PRM) dan Pang Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan dari DAP. - NSTP/ SAIFULLIZAN TAMADI

HULU SELANGOR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang bermula hari ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.

Pegawai Pengurus PRK DUN Kuala Kubu Bharu, Yuhanas Auree Kamaruddin mengumumkan pencalonan rasmi itu sebaik tempoh proses penamaan calon ditutup jam 10 pagi.

PH mempertaruhkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao mewakili Kerajaan Perpaduan, dicabar pemangku Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut mewakili PN.

Sementara PRM diwakili Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin bertanding atas tiket Bebas.

Yuhanas berkata, pihaknya menyemak kertas permohonan dan berpuas hati serta memutuskan tiada kertas permohonan ditolak.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan seorang calon Bebas, Chng Boon Lai menghantar borang, namun menarik semula permohonan berkenaan pada saat akhir.

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandang daripada DAP, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Yuhanas (tengah) ketika mengumumkan pencalonan untuk PRK Kuala Kubu Bharu, hari ini. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Yuhanas (tengah) ketika mengumumkan pencalonan untuk PRK Kuala Kubu Bharu, hari ini. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pagi ini sehingga 11.59 malam, 10 Mei.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Bharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

-BH Online 

0 comments:

Catat Ulasan