Rabu, 13 Mac 2024

SJKC halang perpaduan nasional: Kok Seong beri keterangan polis

 

PROF. Emeritus Datuk Teo Kok Seong hari ini dipanggil memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur ekoran kenyataannya yang mendakwa, sekolah vernakular (jenis kebangsaan) menjadi penghalang perpaduan nasional.

Kertas siasatan terhadap tokoh akademik itu dilaporkan sebuah portal media, telah dibuka di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memetik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Siasatan berkenaan dikatakan atas gesaan Teresa Kok Suh Sim yang menuduh Kok Seong rasis terhadap kaum Cina namun seorang peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla berpendapat, tindakan Ahli Parlimen Seputeh daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu salah dan tidak berpandukan undang-undang.

“Prof. Kok Seong memberi pendapat sebagai seorang pakar dalam bidang pengajian,” katanya, dipetik daripada laman sosial Bertindak yang menyuarakan sokongan kepada tokoh akademik itu.

Laman berkenaan mengalu-alukan Kok Seong yang tidak patah semangat untuk bersuara demi menyatukan rakyat melalui satu aliran sekolah kebangsaan dengan hanya menggunakan bahasa Melayu dalam pendidikan untuk semua rakyat Malaysia.

Kenyataan beliau yang disiarkan sebuah portal dalam talian menyebut, 95 peratus pelajar Cina yang dihantar ke sekolah vernakular (SJKC) tidak mahu bercampur gaul dengan pelajar Melayu yang merupakan kaum majoriti penduduk Malaysia.

 – BebasNews

0 comments:

Catat Ulasan