Rabu, 13 Mac 2024

Jom kenali Kenny Dan kaitan dengan peristiwa 13 Mei 1969

 Mari berkenalan dengan Kenny 

Salam semua, hari ni atok nak bawak korang berkenalan lebih rapat dengan Kamaruddin Hashim @ Kenny dan kemudian mendengar cerita dia mengenai kejadian 13 Mei. Dia berada di tempat kejadian semasa rusuhan mula berlaku.

Kamarudin b. Hashim @ Kenny dilahirkn pada 9 SEP 1949  di Setapak, KL. Masa itu bapanya berkhidmat dgn BMA (British Military Administration) sebagai pegawai Penaksir Kerugian Perang. Kenny mula bersekolah pada tahun 1956 di Sekolah  Kebangsaan Raja Muda, Kg. Baru, KL sehingga darjah 3. Di hujung tahun 1958 keluarganya berpindah balik ke Kg. Minyak Beku, Batu Pahat, Johor. 1959, dia masuk Special Malay Class dan dari tahun 1962-1966 dia belajar di Sekolah Tinggi (High School, Batu Pahat). Dia dibesarkan dalam keluarga baik2, keturunan dari orang besar dan bergelar Daeng,  tinggi pengetahuan agama. Bapa Kenny seorang Imam dan naib Kadi. 

 Pada bulan Mac 1967, Kenny berjaya dipilih sebagai Pegawai Kadet Tentera dan menjalani latihan selama 6 bulan di Maktab Tentera Di Raja, Sg. Besi. Malangnya, walaupun beliau berjaya menamatkan latihan, umurnya terlalu muda tidak boleh ditauliahkan sebagai Pegawai Tentera berpangkat 2nd Leftenan. Semasa tamat latihan, umur Kenny baru masuk 18 tahun, sedangkan mengikut syarat seorang pegawai tentera mesti berumur 18 tahun masa mula masuk perkhidmatan. Maka malang bagi Kenny tak dapat jadi pegawai tentera.

Namun dia ditawarkan untuk mengikuti latihan Kadet sekali lagi bersama dengan intake baru.... Mana dia mau nak masuk training sekali lagi, nak kena lanyak sekali lagi.

 Kenny fed up dia memohon  keluar dari perkhidmatan tentera. Selepas keluar, Kenny buat kerja macam2 di berbagai tempat. Mula2  dengan  syarikat insuran MCIS, tak lama kemudian jadi trainee salesman dengan Leyland Motor di Jalan Pudu pulak.  Lepas tu dia bekerja pula dengan kilang Kasut Bata di Meru, Klang sebagai trainee supervisor.  Sebelum memasuki perkhidmatan Polis, Kenny bekerja dengan Jabatan Perangkaan (Statistik Dept) di Jln Young, KL sehinggalah kejadian 13 Mei 69.

 Semasa kejadian 13 Mei 1969, Kenny masih dengan Jabatan Statistik, dia sedang  membuat tugas bancian di Hospital Quarters tidak jauh dari tempat punca tercetus rusuhan,  iaitu di hadapan rumah MB Selangor, Dato'  Harun Idris.  Habis kerja dia  pulang ke rumah berjalan kaki kerana dia tinggal di Jalan Watson Kg. Baru. Semasa pulang dia dapati ramai orang Melayu sedang berhimpun  di hadapan rumah Menteri Besar Dato Harun Idris. Kenny terpanggil untuk menyertai orang ramai itu. Mereka sedang mendengar ucapan berapi2 dari beberapa orang pemimpin termasuk Dato Harun  Idris...mereka marah dengan tindakan pihak pembangkang DAP mengadakan demonstrasi jalanan meraikan kemenangan beberapa kerusi pilihanraya Kuala Lumpur lalu  hendak menghalau orang Melayu keluar dari Kuala Lumpur. Keadaan masa tu hening, orang ramai bersesak2 hingga membanjiri jalanraya.

 Ditakdirkan pada ketika itu telah lalu  sebuah lori kecil membawa perabot yang dipandu oleh lelaki Cina bersama seorang atendan juga budak Cina cuba lalu dalam kesesakan jalan di hadapan rumah MB. Kenny nampak secara tiba2 lori telah diserang oleh  penunjuk2 perasaan, pemandu dan atendan dipukul hingga mati ditempat itu juga. Kenny hanya memerhati perbuatan mereka tidak ikut sama menyerang. Kejadian berlaku secara spontan, tidak ada siapa yang mengarah melakukannya.  Kejadian berlaku kira2 jam 5 petang.

Seterusnya penunjuk perasaan bergerak beramai2 menuju ke Jalan Chow Kit. Sampai hampir di Stadium Raja Muda, bilangan penunjuk perasaan bertambah ramai, mereka  memenuhi semua persimpangan jalan. Adalah difahamkan mereka pergi beramai2 kesana bertujuan menghalang kumpulan penunjuk perasaan DAP yang merancang untuk datang ke rumah MB untuk memaksa Dato Harun tidak menerima perlantikan semula sebagai Menteri Besar. Mereka datang tak tau dari mana, makin lama makin ramai, masing2 kelihatan membawa senjata saperti parang, besi, kayu, buluh dan sebagainya. Mereka tampak bersedia untuk berperang dengan pihak DAP jika mereka hendak berarak ke rumah kediaman Menteri Besar....Dari situ mereka beramai2 terus maju ke Jalan Chow Kit.  Sentimen perkauman meluap2 perasaan masing2 tidak dapat dikawal lagi, dan mereka mula membakar kereta dan bangunan di sekitar Jalan Chow Kit, api menjulang di sana sini asap berkepulan nampak dari jauh. Pertembungan kaum berlaku, banyak korban di kedua2 pihak.

Pada ketika itu Pasukan Keselamatan seolah2 hilang kawalan, kejadian berlaku berleluasa dan Polis langsung tidak kelihatan...Kejadian rusuhan berterusan tidak ada pihak yang menghalang. Kenny masih bersama mereka hanya sebagai pemerhati,  dia tak bawa senjata dan tidak mengambil bahagian merusuh.

Kenny pulang ke rumah lebih kurang jam 8 malam dan dengar berita di TV bahawa kawasan Kg. Baru dan Chow Kit telah dikenakan perintah berkurung. Jam 10  malam Kenny keluar semula dari rumah untuk melihat keadaan. Dia melihat  orang ramai  masih berkeliaran di sekitar Kg Baru walau pun Perintah Berkurung telah diistihar. Kelihatan juga hampir  setiap orang membawa senjata parang, pisau, buluh atau kayu. Kenny berada di kawasan berdekatan masjid Kg. Baru, dia melihat dengan jelas api bersemarak membakar kedai2 di kawasan Chow Kit. Kenny terus hairan, dia masih  tidak nampak kehadiran Polis.  Dari petang Polis tidak kelihatan, sampai ke malam Polis masih tidak kelihatan masuk atau meronda kawasan  Kg Baru walaupun keadaan sudah menjadi huru hara.

Kenny pulang ke rumah lebih kurang jam 2 pagi. Esoknya, 14 Mei Kenny dapat tahu curfew telah dilonggarkn dari jam 7 - 10.00 pagi untuk membolehkan orang ramai membeli barang keperluan.  Kenny keluar melihat keadaan di Jalan Raja Muda dan dia lihat ada beberapa kajadian baru membakar kenderaan dan orang dibunuh.  Mayat bergelimpangan di tepi2 jalan.

 Jam 10.00 pagi dimaklumkn curfew berkuat kuasa semula tetapi Kenny dapat lihat dalam Kg Baru orang macam tidak mempedulikan arahan curfew. Mereka berjalan sana sini, masing2  membawa senjata seperti parang, pisau, buluh dan kayu.

Atok nak ingatkan semua orang, inilah bahaya jika kita bermain sentimen perkauman. Ia sangat bahaya....sentimen perkauman boleh meledak jadi peperangan secara tiba2  tanpa dapat dikawal. Bayangkan kita orang Melayu, Cina, India yang sebelum itu hidup aman damai, sekolah sama2, kerja sama2, makan tidur sama2...tiba2 boleh jadi bermusuhan membunuh antara satu sama lain tanpa sebab, tanpa pertimbangan. Ini semua adalah disebabkan ada pihak memainkan sentimen perkauman. Kejadian membunuh bukan oleh orang Melayu sahaja, orang cina juga membunuh orang Melayu. Dikhabarkan, kumpulan Cina pula telah mengepung panggung2 wayang, menghalau orang cina keluar dan membunuh orang2 Melayu di dalam panggung....begitulah dahsyatnya kejadian rusuhan perkauman....moga2 ia tak akan berlaku lagi....dan orang2 jenerasi sekarang jangan sekali  berani bermain api dengan meniup sentimen perkauman.

Sumber

0 comments:

Catat Ulasan