Gerbang Laut Jutaan Tahun Di Perlis
Gambar : SYAMIL Abd. Rahman (kiri) dan Ahmad Fahmi Mohd. Radzi membetulkan papan tanda cadangan bagi formasi batuan di gerbang laut dipercayai berusia jutaan tahun yang ditemui di Bukit Besi Hangit, Kangar.
KANGAR: Siapa sangka di sebalik kawasan perumahan penduduk sekitar Bukit Besi Hangit di sini, di kawasan berhampiran tersimpan peninggalan sejarah purba iaitu gerbang laut semula jadi dipercayai berusia ratusan juta tahun yang masih kekal terpelihara.
Penemuan tersebut mula disedari oleh penduduk setempat sekitar 2008 sewaktu meneroka kawasan berkenaan dan kemudiannya dikaji secara lebih mendalam oleh Perlis Nature Xplore (PNX).
Sewaktu memasuki kawasan bukit di lokasi berkenaan semalam, kelihatan secara jelas satu formasi batuan seperti sebuah pintu gerbang yang amat unik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas PNX, Syamil Abd. Rahman berkata, lokasi tersebut dahulunya kawasan laut yang kemudian melalui proses geologi selama jutaan tahun lalu membentuk gerbang semula jadi berkenaan.
“Kawasan ini suatu ketika dahulu adalah lautan malah hari ini kedudukannya juga terletak kira-kira 13.8 kilometer dari laut.
“Dahulu terdapat dinding batuan di sini yang akan dihempas air laut dan lama kelamaan ia runtuh serta melalui proses geologi selama jutaan tahun sehinggalah membentuk gerbang laut ini secara semula jadi,” katanya.
Mengulas lanjut, Syamil berkata, gerbang laut sememangnya unik kerana ia jarang terbentuk dan hanya terdapat di beberapa kawasan pantai di negara ini antaranya Pulau Langkawi Kedah; Pulau Mawar Mersing dan Pantai Tusan Bekenu, Miri, Sarawak.
“Lokasi tumpuan di luar negara pula yang sememangnya terkenal dengan gerbang laut ini adalah di Koh Khai, Satun Geopark, Thailand,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Geologi dan Hidupan Liar PNX, Ahmad Fahmi Mohd. Radzi pula berkata, usia batuan di gerbang laut semula jadi itu ditentukan dengan penemuan fosil trilobite ordovisi iaitu sejenis haiwan purba yang hanya hidup pada zaman paleozoik sekitar 350 juta tahun dahulu.
Katanya, kawasan tersebut juga dicadangkan sebagai tapak warisan geologi atau geotapak kepada badan pelaksanaan Perlis Geopark yang diuruskan oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis (BPEN).
“Gerbang laut ini sangat unik kerana ia jarang ditemukan di kawasan hutan berbanding di lokasi-lokasi lain berhampiran pantai,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Fansuri Ahmad, 48, berkata, dia bersama beberapa penduduk setempat meneroka kawasan berkenaan sekitar 2008 disebabkan lokasi itu sering menjadi tumpuan pelajar untuk ponteng sekolah.
“Ketika itu, kami menemukan formasi batuan tersebut dan kelihatan menyerupai pintu gerbang. Saya juga amat menyokong sekiranya lokasi ini dipelihara memandangkan ia mempunyai keunikan tersendiri,” katanya.
Artikel Asal : https://www.utusan.com.my/berita/2024/03/gerbang-laut-jutaan-tahun-di-perlis/
.
Sumber : Utusan Malaysia
.
Like & Follow Perlis Permai Untuk Berita Dan Info Semasa Negeri Perlis.
.
#PerlisPermai
#VisitPerlis
#TMP20242025
#PakatMaiPerlis
#PerlisDamaiDanMenawan
0 comments:
Catat Ulasan