Isnin, 4 Mac 2024

Bolehkah sebut Rabbighfirli sebelum menyebut Amin selepas fatihah ketika solat?

 SEBUT RABBIGHFIRLI SEBELUM AMIN

SOALAN :

Apakah hukumnya menyebut رَبِّ اغْفِرْ لِي selepas selesai membaca surah fatihah sebelum mengucap amin kerana saya ada setengah orang membacanya?

Dan setengah orang membaca dengan lebih panjang yaitu رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِجَمِيعِ الْمُسْلِمِينَ apakah hukumnya?

JAWAPAN :

Pada masalah ini setengah ulamak tidak menyebutnya di dalam kitab-kitab mereka dan sebahagiannya berkata dengan harus menyebutnya.

Berkata fuqahak yang mengharuskan menyebutnya adalah selepas seorang itu membaca surah Al-Fatihah sebelum menyebut amin adalah harus jika dia hendak membaca doa seperti membaca رَبِّ اغْفِرْ لِي yang bermaksud wahai Tuhanku ampunilah bagiku dan kemudian dari dia membaca doa ini barulah dia menyebut perkatan آمِينَ.

Syeikh Ibnu Hajar Al-Haithami menyebut di dalam Kitab At-Tuhfah :

يَنْبَغِي اسْتِثْنَاءُ نَحْوِ رَبِّ اغْفِرْ لِي لِلْخَبَرِ الْحَسَنِ أَنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ عَقِبَ الضَّالِّينَ رَبِّ اغْفِرْ لِي آمِينَ

Artinya : “Sayugia dikecualikan akan ucapan رَبِّ اغْفِرْ لِي kerana hadith yang hasan sungguhnya Nabi sollallahu alaihi wasallam menyebut selepas selesai membaca الضَّالِّينَ akan bacaan رَبِّ اغْفِرْ لِي kemudian baginda menyebut آمِينَ.

Maksud dikecualikan itu ialah pada masalah seseorang yang telah membaca bacaan yang lain selepas membaca fatihah sebelum menyebut amin maka luputlah tempat disunatkan membaca amin melainkan sebab membaca رَبِّ اغْفِرْ لِي maka masih disunatkan menyebut amin selepasnya. 

Dan jika seorang itu mendoakan lebih dari رَبِّ اغْفِرْ لِي seperti dikatanya رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِجَمِيعِ الْمُسْلِمِينَ maka hukumnya adalah harus.

Berkata Syeikh Ali As-Syubramallisi :

لَوْ زَادَ عَلَى ذَلِكَ وَلِوَالِدَيَّ وَلِجَمِيعِ الْمُسْلِمِينَ لَمْ يَضُرَّ أَيْضًا

Artinya : “Kalau seorang itu menambah atas رَبِّ اغْفِرْ لِي akan lafaz وَلِوَالِدَيَّ وَلِجَمِيعِ الْمُسْلِمِينَ maka ia tidaklah memberi mudarat juga.” (Kitab Hasyiah An-Nihayah)

Dan adalah membaca رَبِّ اغْفِرْ لِي ini hanyalah bagi mereka yang membaca fatihah olih itu jika seorang itu hanya mendengar orang lain membaca yang fatihah maka tiadalah atasnya membaca رَبِّ اغْفِرْ لِي.

Berkata Syeikh Abdurrahman Al-Hadhrami :

وَقَوْلُ رَبِّ اغْفِرْ لِي مَطْلُوْبٌ مِنَ الْقَارِئِ فَقَطْ فِى السَّكْتَةِ بَيْنَ آخِرِ الْفَاتِحَةِ وَآمِيْنَ

Artinya : “Dan ucapan رَبِّ اغْفِرْ لِي hanya dituntut dari orang yang membaca fatihah sahaja ketika diam antara akhir fatihah dan آمِيْنَ.” (Kitab Bughyah Al-Mustarsyidin)

Kesimpulannya siapa yang membaca rabbighfirli sebelum menyebut amin itu hukumnya adalah dibolehkan kerana sebahagian fuqahak mengharuskannya dan siapa yang tidak menyebutnya maka tidaklah mengapa. 

wallahua’lam 

ustaz azhar idrus

0 comments:

Catat Ulasan