Ahad, 5 September 2021

Paralimpik:Latif Romly atlet pertama raih ganjaran RM2 juta

 

Abdul Latif memenangi pingat Emas bagi acara lompat jauh T20 dengan lompatan sejauh 7.45 meter (m) pada temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik, pada Sabtu. -Foto Bernama
Abdul Latif memenangi pingat Emas bagi acara lompat jauh T20 dengan lompatan sejauh 7.45 meter (m) pada temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik, pada Sabtu. -Foto Bernama

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Secara keseluruhan dalam edisi Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang melabuh tirai hari ini, Malaysia merangkul tiga pingat emas dan dua perak.

Malaysia membuka tirai meraih pingat emas melalui jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin dalam kategori lelaki 72 kilogram (kg).

Emas kedua pula hadir melalui acara badminton melalui Cheah Liek Hou yang menundukkan pemain nombor satu dunia dari Indonesia, Dheva Anrimusthi dengan kemenangan 21-17, 21-15 dalam kategori SU5.

Melengkapi sasaran emas negara, jaguh lompat jauh negara, Abdul Latif Romly berjaya mengekalkan pingat emas yang dimenanginya di Sukan Paralimpik Rio 2016.

Ketiga-tiga mereka melayakkan diri meraih wang ganjaran kemenangan.

Berdasarkan imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), pemenang emas Sukan Olimpik atau Paralimpik bakal menerima imbuhan RM1 juta manakala perak RM300,000 dan gangsa RM100,000.

Mereka turut menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik (SITO) yang diberikan secara bulanan untuk sepanjang hayat dengan pemenang emas diberikan RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa RM2,000.

Paling mencuri tumpuan adalah Abdul Latif yang kini merangkul jumlah keseluruhan sebanyak RM2 juta selepas meraih emas dalam dua edisi Sukan Paralimpik.

Atlet lompat jauh paralimpik negara Abdul Latif Romly. - Foto Bernama
Atlet lompat jauh paralimpik negara Abdul Latif Romly. - Foto Bernama

Pada 2016, anak jati Kampung Paya Kelubi, Perlis ini menghadiahkan pingat emas di Sukan Paralimpik Rio dalam acara lompat jauh kategori T20 (kurang upaya intelektual).

Ketika itu dia mencipta rekod lompatan sejauh 7.60 meter (m) sekaligus mencipta rekod baharu dunia.

Semalam, Abdul Latif yang kini berusia 24 tahun mempertahankan pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 melalui lompatan sejauh 7.45m

Kemenangannya itu menutup tirai Sukan Paralimpik 2020, sekali gus melengkapkan sasaran kontinjen negara pada temasya di Tokyo itu.

Pada awalnya, jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyah Zolkefli hampir untuk menjadi atlet pertama meraih wang ganjaran RM2 juta dalam edisi namun kemenangannya di Tokyo dinafikan.

Olahraga Para Dunia membuat keputusan itu adalah berdasarkan kepada Peraturan 5.5 Olahraga Para Dunia - 'Gagal melaporkan diri ke Call Room' yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir ke 'Call Room' pada waktu yang sesuai seperti yang ditetapkan dalam jadual Call Room, keputusan yang akan ditunjukkan adalah DNS (tidak bermula).

Berdasarkan peraturan ini, atlet dibenarkan untuk bertanding di bawah status protes ketika pengadil mempertimbangkan semua bukti mengapa atlet terlambat ke Call Room.

Difahamkan, Ziyad lewat dalam tempoh dua hingga lima minit.

Pada Paralimpik Rio 2016, Ziyad menyumbangkan pingat emas buat negara melalui acara sama.

-premium.sinarharian.com.my

0 comments:

Catat Ulasan