Kuala Lumpur: Diskaun harga sehingga 50 peratus serta tol percuma akan diberikan kepada pengguna lebuh raya utama negara bermula 12 tengah malam Sabtu ini hingga 11.59 malam, 1 Mei depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu diputuskan kerajaan selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya.
"Kerajaan bersetuju memberikan diskaun dan tol percuma kepada Keluarga Malaysia yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri, 3 Mei ini.
"Secara keseluruhan, tol percuma dan diskaun ini membabitkan 30 lebuh raya di seluruh negara dengan jumlah diskaun dinikmati pengguna sebanyak RM77.11 juta.
"Jumlah manfaat ini akan ditanggung kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemberian tol percuma akan membabitkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (Plus) yang menghubungkan jaringan lebuh raya utara dan selatan serta Anih Berhad (Anih) yang menghubungkan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) kepada semua kelas kenderaan.
"Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, pemberian tol percuma di Lebuhraya Utara dan Selatan dan LPT juga akan diberikan untuk pengguna yang akan pulang semula ke kediaman masing-masing bermula 12 tengah malam pada 7 Mei 2022 hingga jam 11.59 malam pada 8 Mei 2022 kepada semua kelas kenderaan.
"Tawaran diskaun tol antara 30 peratus dan 50 peratus akan diberikan kepada lebuh raya lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.
"Diharapkan dengan pemberian tol percuma dan diskaun tol sempena perayaan Aidilfitri pada tahun ini akan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri bersama-sama orang tersayang," katanya.
Menurutnya, keputusan kerajaan itu juga mengambil kira impak pandemik kepada sumber pendapatan sebahagian besar Keluarga Malaysia sebelum ini dan bagi mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya terutama golongan berpendapatan rendah.
"Pada masa yang sama, saya berharap kita sebagai Keluarga Malaysia dapat bertoleransi dan sentiasa bersabar dengan kehadiran jutaan kenderaan di lebuh raya sepanjang musim perayaan yang bakal tiba ini.
"Pandulah dengan cermat dan sentiasa berhati-hati di jalan raya," katanya.
-myMetro
0 comments:
Catat Ulasan